ZIKRI ABDULLAH
Percubaan merobohkan pasar lama atas arahan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sejak pagi tadi menimbulkan kekecohan luar biasa apabila beratus.ratus peniaga pasar membuat ‘banteng manusia’ menghalang percubaan itu.
Suasana tegang bermula jam 9.30 pagi apabila dua jentolak memasuki kawasan pasar untuk operasi meroboh yang dikawal penguatkuasa MDPP.
Semua peniaga kemudian keluar beramai-ramai untuk memenuhi laluan jentolak menyebabkan pengerakannya terpaksa dihentikan.
Jurucakap peniaga Badru Hisham Yaakub yang menggunakan pembesar suara merayu pihak MDPP menghentikan operasi dan menangguhkan sehingga mahkamah mendengar injunksi mereka 15 Mac ini.
“Kami mahu pihak majlis tunggu injunksi kami di dengar 15 Mac ini,” katanya.
Para peniaga bertegas tidak berganjak untuk menghalang usaha merobohkan tempat berniaga yang telah mereka duduki begitu lama.
Peniaga mengerumuni jentolak yang cuba merobohkan pasar tempat mereka masih berniaga.
“Kami tidak akan pulang dan sedia tidur di sini untuk mempertahankan hak kami sehingga ditentukan mahkamah,” katanya seorang peniaga yang ditemui.
Menjelang waktu tengah hari kedua-dua pihak bersurai sementara untuk berunding.
Peguam bagi pihak peniaga Mohd Ridzuan Muhammad kelihatan memasuki pejabat MDPP untuk berunding.
Keadaan kemudian kembali kecoh apabila jentera penarik memasuki kawasan pasar untuk mengalihkan kereta peniaga yang diletak untuk membuat benteng menghalang jentolak memasuki kawasan pasar.
Peniaga kemudian kembali mengerumuni jentera yang cuba digerakkan semula untuk operasi perobohan.
Sehingga berita ini ditulis kedua-kedua pihak masih belum berganjak.
Ratusan peniaga menghalang Pasar Besar Pasir Puteh diroboh tanpa perintah mahkamah. Foto Hazmi Hassan.
Menurut peguam Ridzuan, beliau masih berusaha meneruskan rundingan.
“Kes ini sepatutnya masihpra matang kerana tarikh 15 Mac ditetapkan untuk pendengaran Erinford di hadapan Yang Arif Mahkamah Tinggi Kota Bharu,” katanya.
Untuk rekod seramai 375 peniaga masih meneruskan perniagaan di pasar lama dan engga berpindah ke pasar baru yang dinamakan pasar Siti Hajar.
Mereka membuat tuntutan di mahkamah kerana menganggap pasar baru yang disediakan tidak sesuai untuk menjalankan perniagaan.
Suasana berlarutan sejak awal tahun 2017 dan sehingga ini telah memasuki tahun kedua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan