"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kaki putus jadi bantal (Gambar)


New Delhi – Kaki seorang lelaki yang terputus akibat kemalangan jalan raya dijadikan bantal ketika dia dimasukkan ke wad kecemasan kerana hospital di Jahnsi itu kekurangan bantal.

Susulan itu, pihak kerajaan mengarahkan supaya siasatan dilakukan terhadap kejadian pelik yang berlaku di Hospital Kolej Perubatan Maharani Laxmi Bai Jhansi kelmarin.

Menurut laporan media India, Ghanshyam, 28, yang bekerja sebagai pencuci bas sekolah dihantar ke hospital dalam keadaan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Mauranipur.

Hindustan Times melaporkan, pengetua kolej itu, Dr Sadhna Kaushik berkata, jawatankuasa empat ahli ditubuhkan untuk mengenal pasti kakitangan hospital yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

“Dr Rajeev Sinha (ketua jabatan pembedahan) yang mengetuai jawatankuasa itu akan menyediakan laporan dalam tempoh 48 jam. Tindakan akan diambil berdasarkan keputusan laporan terbabit.

“Saya sudah menemui 30 orang di wad kecemasan terbabit namun, tidak seorang pun mengaku ada melihat siapa melakukannya,” katanya yang menganggap kes itu sebagai khianat.

Kolej perubatan itu juga akan melihat rakaman kamera litar tertutup untuk mengesan kakitangan yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang disifatkan sebagai memalukan.

Menurut akhbar Times of India, Sadhna berkata, ahli keluarga mangsa termasuk abang dan ibunya menemani ke hospital tersebut sambil membawa kakinya yang terputus itu.

Namun menurutnya, seorang daripada mereka tidak menyerahkan kaki itu kepada doktor atau kakitangan lain selepas selesai urusan formaliti undang-undang.

Keluarga itu membawa sebiji bantal yang digunakan pihak hospital untuk melapik paha mangsa yang berada di atas pengusung.

Ibu mangsa, Devki memberitahu pihak berkuasa, doktor meletakkan kaki yang terputus itu untuk mengalas kepala memandangkan mereka tidak cukup bantal.

Ketua perubatan, Harish Chandra Arya berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sebaik selesai siasatan. – Agensi
-kualalumpurpost 

Tiada ulasan: