"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kesusahan saya hanya Tuhan tahu' - Uji Rashid

Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
STATUS dikongsi Noh pada Facebook mengenai pertemuannya dengan Uji berhubung permohonan rumah PPR, pantas menjadi bualan netizen, sejak Rabu lalu. - Foto FB Tan Sri Noh Omar
rajamawar@bh.com.my

KUALA LUMPUR: "Saya reda dengan ujian Allah."

Begitulah luahan bintang veteran, Uji Rashid yang mengaku hidupnya berdepan cabaran getir membabitkan kesihatan anak tunggal kesayangan, Cico Harahap dan bebanan kewangan hingga tidak lagi mampu menyewa rumah.

"Saya tiada pilihan selain terpaksa memohon bantuan rumah daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebagai tempat berteduh," katanya ketika dihubungi BH Online.

Sejak beberapa hari lalu, kisah Uji yang dikatakan diarah mengosongkan rumah di Taman Dagang, Ampang, selepas gagal membayar sewa, tular.

Isu itu menjadi topik hangat netizen apabila Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkongsi status di Facebook mengenai pertemuannya dengan Uji yang ditemani Cico dan cucunya, Rindu Norfitrah, bagi meminta bantuan rumah PPR, kelmarin.

Uji berkata, dia sedih apabila beritanya diusir dari rumah sewa menjadi tular.

"Saya, anak dan cucu belum lagi kena usir. Tetapi dalam keadaan sekarang, saya merasakan tidak mampu menyewa rumah dengan bayaran tinggi. Saya berpijak di bumi nyata, saya harus mencari rumah yang mampu milik.

"Diakui sewa rumah pernah tertunggak ketika Cico jatuh sakit, tahun lalu. Namun, saya berusaha melunaskannya kerana tidak mahu kena halau.

"Duit simpanan banyak dikeluarkan untuk rawatan Cico. Jadi, kadang kala saya tidak cukup duit untuk membayar sewa," katanya.

Akuinya, keadaan Cico agak teruk dan memerlukan perhatian.

"Saya terpaksa menolak tawaran kerja untuk menumpukan perhatian pada satu-satunya zuriat saya. Kesusahan saya hanya Tuhan saja yang tahu. Tidak sampai hati meninggalkan anak yang menderita sakit.

"Saya masih berulang alik ke hospital menemani Cico menjalani pelbagai terapi dan rawatan setiap hari.

"Cico semakin sihat tetapi dia masih tidak boleh bercakap, menulis mahupun membaca. Saya terpaksa menjaganya seperti anak kecil," katanya menjelaskan masalah yang dihadapi anaknya itu.

Uji atau nama sebenarnya, Fuziah Haroun Al Rashid berkata, beliau bersyukur Noh membantu meluluskan permohonan rumah PPR dengan segera.

"Sebenarnya, saya sudah membuat permohonan rumah PPR sejak beberapa bulan lalu. Saya berusaha sendiri tanpa bantuan mana-mana persatuan.

"Saya turun naik pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa kali. Dengan bantuan seorang rakan yang juga kenalan baik Noh, permohonan saya diluluskan segera. Usaha saya mendapatkan rumah tidak melalui mana-mana persatuan.

"Saya mahu berpindah segera kerana tidak mampu lagi membayar sewa rumah dengan harga tinggi. Insya-Allah saya akan berpindah ke rumah PPR dalam masa yang terdekat.

"Noh memberi pilihan beberapa kawasan sekitar Puchong dan Jinjang. Beliau juga meminta saya melihat lokasinya dulu sebelum membuat keputusan," katanya.

Mula aktif sejak era 1970-an, Uji dikenali sebagai artis versatil dengan bakat lakonan dan suara merdu. Uji banyak merakamkan lagu duet bersama Hail Amir dan Datuk DJ Dave. Filem lakonannya seperti Permintaan Terakhir, Menanti Hari Esok, Langit Tidak Selalu Cerah dan Yassin masih dikenang sebagai antara karya terbaik Uji.

Tiada ulasan: