"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaman bos-bos GLC bergaji tinggi sudah tamat kata Tun M

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional telah menyimpang daripada matlamat asalnya untuk membantu bumiputera.

Dalam wawancara dengan laman web perniagaan Investvine, Mahathir turut berkata mahu memotong gaji tinggi bos syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC)

Bercakap mengenai Khazanah yang ditubuhkan pada 1993 ketika kali pertama pentadbirannya, Mahathir berkata firma pelaburan itu ditubuhkan untuk memegang saham bumiputera, sehingga mereka mempunyai keupayaan untuk membeli saham tersebut.

"Tetapi dalam proses itu, Khazanah memutuskan ia perlu mengambil semua saham itu untuk syarikat itu dan jika ia suatu saham yang baik mengapa tidak mendapatkan saham berkenaan semasa penyenaraiannya ketika harga saham itu masih sangat rendah dan lantaran itu mereka lupa sepenuhnya tentang memegang saham untuk bumiputera.

Kecenderungan jual saham

"Mereka memutuskan perlu memegang saham berkenaan untuk selama-lamanya menjadi sebahagian daripada syarikat-syarikat kerajaan yang dimiliki oleh kerajaan," katanya.

Ini menurut beliau kerana bumiputera yang mendapat saham berkenaan memiliki kecenderungan untuk menjual saham itu dan memperkayakan diri mereka sendiri.

Beliau berkata Putrajaya kini sedang meneliti pegangan saham Khazanah dalam syarikat-syarikat tersebut dan akan menyusunnya mengikut kategori keuntungan serta mengembalikan tujuan asal penubuhan Khazanah.

"Kami perlu bersetuju untuk beberapa syarikat ini mengurangkan bilangan (saham yang dipegang oleh Khazanah) dan setakat ini kembali ke niat asal untuk memegang saham yang diperuntukkan kepada bumiputera sehingga tiba masa apabila mereka boleh membelinya," katanya.

Era lantikan politik bergaji besar telah tamat

Sementara itu mengulas syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Mahathir berkata zaman pemegang jawatan lantikan politik mengetuai firma tersebut dan meraih gaji besar telah berakhir.

"Gaji orang-orang ini (dilantik politik) sangat tinggi dan mereka menikmati gaji tinggi tanpa ambil peduli sama ada syarikat itu membuat keuntungan atau tidak.

"Di sisi lain, kami mahu meletakkan profesional dan gaji mereka tidaklah terlalu tinggi, ia mungkin sedikit lebih tinggi daripada gaji perkhidmatan awam, tetapi jika prestasi mereka bagus maka kami akan membayar mereka bonus.

"Sekiranya mereka tidak bagus, mereka tidak akan mendapat pendapatan tinggi yang mereka dapatkan sekarang dan kami akan mengubah pengurusan supaya kami dapat melantik golongan profesional (tidak kira) sama ada mereka orang parti atau tidak, itu semua tidak penting, tetapi mereka mestilah profesional yang mahir dalam urusan perniagaan syarikat itu," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: