A Kadir Jasin
Apabila Dr Mahathir Mohamad memberitahu saya yang Muhyiddin Yassin mengaku dia anak orang alim bagi membuktikan dia orang baik, jawapan saya mudah saja.
Hanya syaitan bodoh saja menghasut anak orang jahat atau orang yang tidak ada pengaruh.
Tapi tidak ada syaitan yang bodoh. Syaitan cerdik cuma derhaka kepada Allah, jadi syaitan akan hasut orang yang berpengaruh yang boleh mempengaruhi ramai orang.
Justeru itu, tok guru dan anak-anak tok guru yang berpengaruh adalah sasaran yang unggul bagi syaitan.
Maaf cakaplah kalau saya kata, majoriti ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bersidang pada hari Ahad 23 Februari lalu, seolah-olah dirasuk syaitan kerana bertubi-tubi mengasak Dr Mahathir supaya bersetuju dengan mereka untuk menarik Bersatu keluar daripada PH dan menyertai Umno dan Pas.
Bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir, Zahid Mat Arip, sampai menghentak meja dan berkata buat kali pertama dia menyokong Muhyiddin. Yang saya tahu dia sebelum ini sangat benci kepada Muhyiddin.
Turut menyokong dengan lantang sampai tidak sedikit pun mempedulikan rayuan Dr Mahathir ada Ahli MPT yang diketahui bercita-cita tinggi seperti Rafiq, Redzuan dan Wan Saiful.
Ahli MPT yang bercakap mempertahankan Dr Mahathir adalah minoriti dan terdiri daripada mereka yang tidak bercita-cita politik.
Tapi ada juga yang hipokrit dan tikam belakang. Di depan Dr Mahathir sokong tapi sebenarnya mengkhianati beliau. Dalam hal ini saya, secara peribadi, amat kecewa dengan mainan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu atau dikenali sebagai Peja.
Jelas daripada asakan dan penderhakaan pada 23 Februari itu bahawa konspirasi keluar PH dan bergabung dengan Umno itu sudah dirancang dengan teliti untuk satu jangka masa yang panjang melibatkan watak-watak dalam Bersatu, Umno, PKR dan PAS.
Ternyata Dr Mahathir juga dihampakan oleh watak-watak Umno yang beliau alu-alukan ke dalam Bersatu seperti Hamzah Zainuddin dan Mustapha Mohamed. Nampak seolah-olah ada usaha mengambil alih Bersatu oleh pendatang Umno ini.
Ini terbukti apabila adun Umno dilantik menjadi MB Johor mengganti wakil Bersatu. Hal yang sama mungkin berlaku di negeri-negeri lain. Muhyiddin orang mulia, tapi kalau ini bukan pengkhianatan, apa lagi?
Inilah apa yang boleh saya simpulkan hasil daripada apa yang saya sendiri lihat dan apa yang saya dengar daripada Dr Mahathir.
Jadi apabila Muhyiddin berkata dia tidak mengkhianati Dr Mahathir, ia hanyalah semantik - antara yang tersurat dengan yang tersirat.
Sekali lagi Dr Mahathir telah dikhianati dan diderhakai oleh orang-orang yang dipercayainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan