"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mazhab pintu belakang tunggang Melayu, dagangkan Islam

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Sejak sebelum PRU ke 14 lagi, isu Melayu/Islam menjadi tumpuan Umno menangkis asakan politik Pakatan Harapan (PH) terhadap kes-kes rasuah 1MDB, Felda dan penyelewengan TH. Mereka meratib DAP Cina akan berkuasa, Melayu akan hilang kuasa dan berbagai lagi jawapan berbau perkauman.

PH mendedahkan penyelewengan institusi orang Melayu kerana mahu menyelamatkan maruah orang Melayu. Tetapi Umno menangkis dengan jawapan jangan jadi barua DAP. Maka, istilah khadam DAP Cina berkumandang di telinga orang Melayu.

PH tidak pernah jadi barua sesiapa jauh sekali menjadi khadam sesiapa. Kami bawa naratif menentang rasuah dan penyelewengan bukan menentang Melayu! Asas luas politik PH tidak mengenal kaum dan bangsa, asalkan ia berkepentingan semua PH akan membetuli keadaan.

PH sedar bahawa isu penyelewengan pemerintah dari perbuatan rasuah adalah masalah bersama rentas kaum kerana kerajaan BN yang diam kepada mungkar pemerintahan akan membawa kepada sebuah negara yang akan mereput hingga ke akar rumput rakyatnya.

PH cuba membawa satu perjuangan dengan prinsip yang lebih meluas (broad base) yang melihat kesan tindakan melibatkan kepentingan semua pihak. Umno bertahan dengan hujahan bangsa dengan mengheret negara kepada budaya amalan politik identiti (identity politics) dalam hal ini identitinya adalah kaum disulam agama sempit.

Rakyat Malaysia menolak hujahan beridentitikan kaum tetapi memilih asas kepentingan bersama. Dalam PRU yang lalu, pengundi menolak politik beridentikan kaum dengan memberi mandat kepada PH yang lebih meluas teras perjuangannya.

Politik kaum terus memainkan peranannya walaupun telah lahir kerajaan mandat rakyat. Parti identiti kaum terus mengasak kerajaan PH bernuansakan kaum dan agama sempit. Semua isu dikembalikan kepada naratif kaum dan agama sempit seperti pelantikan Peguam Negara, TH, pembunuhan Adib dan insiden lain yang cuba menjejaskan kerajaan PH.

Menguntungkan Melayu

Kerajaan pintu belakang yang terbentuk sekarang adalah bercirikan politik identiti kaum dan sekali gus menafikan kehendak politik yang dipilih iaitu politik kepentingan bersama.

Bagi Tan Sri Muhyiddin Yassin, alasan Melayu menjadi faktor penyatuan mereka walaupun terpaksa membentuk kerajaan pintu belakang.

Benarkah kerana Melayu? Jika kerana Melayu bukankah perjuangan PH untuk memulihkan institusi Melayu atas kepentingan bersama menguntungkan Melayu?

Bukankah menentang perasuah adalah tuntutan Islam dan sekali gus menguntungkan orang Melayu yang akan bebas dari kesan pemimpin rasuah? Hari ini mereka yang didakwa di mahkamah kerana rasuah dan penyelewengan kembali menjadi kerajaan?

Bukankah dengan menolak Umno dan BN, PH telah membuka ruang kepada politik rentas kaum yang menguntungkan semua pihak? Ia peluang kepada masa depan negara yang PH namakan sebagai Malaysia Baharu yang progresif dan inklusif serta peduli rakyat.

Betulkah kerana Melayu, PPBM membentuk kesepakatan dengan Umno/Pas? Ataukah kerana ketamakan kuasa, syahwat kuasa dan berebut jawatan?

Sedihnya untuk Malaysia kerana Melayu terus dipertunggangkan dan Islam terus didagangkan oleh mazhab pintu belakang!

Tiada ulasan: