"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Seorang dua dalam PH tergigit lidah, apa nak pening

USTAZ ZOLKHARNAIN ABIDIN
Pakatan Harapan (PH) ada majlis presiden. Majlis ini masih wujud dan sah sehingga detik ini. PH juga ada perlembagaan. Semua anggotanya wajar akur kepada dokumen bertulis itu untuk kekal dalam PH.

Pengerusinya ialah Anwar Ibrahim, Presiden PKR. Anggota utamanya ialah Mohamad Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP). Ada anggota tambahan lain yang diputuskan oleh parti masing-masing untuk pengukuhan.

Sebarang keputusan PH mengikat parti-parti komponennya. Biasanya, keputusan penting dan besar berlaku secara konsensus. Jarang keputusan besar berlaku secara majoriti.

Setakat yang saya tahu, semua pemimpin parti komponen PH akan memegang teguh keputusan PH. Jika sesuatu keputusan memerlukan perubahan atau pindaan, hal itu berlaku dalam mesyuarat PH.

Semua pemimpin PH akan bercakap nada yang sama di hadapan umum setelah ada keputusan. Ada pun seorang dua individu pemimpin yang mungkin tergigit lidah, bercakap berbeza, itu perkara biasa. Ada peraturan yang boleh membendungnya.

Justeru, saya tidak risau sangat dengan sedikit pergeseran yang berlaku dalam kalangan penyokong PH masa kini. Sembang politik dalam media sosial sama macam sembang kedai kopi Mak Cik Kiah.

Bezanya, dalam media sosial tidak ada tepuk meja macam di kedai kopi. Kalau ada yang hempas telefon, itu terpulanglah. Hempas telefon kerana geram dengan pandangannya yang ditolak agak kurang normal.

Habis sembang, balik dan buat kerja masing-masing. Esok datang lagi dan sembang lagi. Kedai kopi Mak Cik Kiah pun meriah dan Mak Cik Kiah pun suka. Rezeki Mak Cik Kiah bertambah.

Penghujung pergeseran itu ialah keputusan yang dibuat oleh pemimpin PH. Mungkin ada seorang dua ahli yang tidak bersetuju dengan keputusan itu. Hal itu lumrah kerana akhirnya, orang yang tidak bersetuju akan akur kepada majoriti.

Saya tidak pernah tertekan dengan pergeseran kecil dalam media sosial. Untuk taksub dengan seseorang atau sesuatu pandangan, jauh sekali. Saya akan terima dan tolak seseorang atau sesuatu pandangan macam saya terima atau tolak hidangan.

Jika saya nampak sedap, sesuai dengan selera dan tidak mudarat, saya makan. Jika tidak, saya ketepikan saja. Jika sudah lama dan basi, saya buang dalam tong sampah. Apa nak susah?

Tidak perlu tertekan pun dengan pergeseran politik. Teruskan hidup macam biasa. Kalau hujan turun, tadah air hujan. Tidak ada hujan, tadah teh O dari pili. Apa nak pening? Demikian saran menteri.

Tiada ulasan: