FMT Reporters
PETALING JAYA: Istana Negara mengesahkan majlis menghadap Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail sepatutnya berlangsung semalam, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara.
Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis itu bagaimanapun ditangguhkan berikutan masalah kesihatan dialami Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang menjalani rawatan bawah pengawasan pakar perubatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Daim Zainuddin, para jemaah menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Anwar yang mendoakan kesejahteraan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Istana Negara turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.
“Sultan Abdullah bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah.
“Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka Baginda berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan