"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Azmin Ali didakwa tidak cukup kuarantin 14 hari

FAZLI RADZI

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kewajipan kuarantin wajib selama 14 hari pulang dari luar negara.

Semalam, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu memuat naik gambar dia berkunjung ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk bertemu Ketua Polis, ACP Mohd Fadzil Ali bagi menyerahkan sumbangan kepada Kelab Polis IPD Putrajaya hasil permohonan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sempat memberikan kata-kata semangat buat para anggota dan barisan hadapan yang cukup gigih menjamin keselamatan dan keteraturan rakyat melalui SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Semoga kita dapat segera melandaikan keluk penularan wabak ini,” katanya yang dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu selepas enam bulan Putrajaya dirampas Perikatan Nasional (PN).

Ekoran pertemuan tersebut, akaun Twitter dan Facebook rasmi atas nama Azmin dihujani kritikan dan luahan rasa tidak puas hati warganet.

“Dah sampai Malaysia sama tarikh dengan saya, 4 Mei 2021 tetapi kenapa saya masih dalam kuarantin wajib 14 hari tapi Datuk (Azmin) dah boleh keluar ke sana ke sini?” kata pengguna Twitter, malayakitchenauh.

Hal sama juga dibangkitkan seorang pengguna Facebook Muhd Saufi yang memaklumkan beliau sendiri perlu menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari walaupun sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“(Azmin) Dah habis kuarantin 14 hari ke? Saya yang dah dua dos vaksin pun kena tujuh hari kuarantin, awal Mei lalu jadi 14 hari.

“Covid-19 ada pilih-pilih bulu ke nak kena kat siapa? Betullah korang ni memang bagi naik darah rakyat. SOP ikut suka hati korang,” tempelak Muhd Saufi.

Untuk rekod, Azmin berada di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 26 April hingga 4 Mei lalu dalam misi yang didakwanya berjaya menarik komitmen pelaburan RM2.36 bilion daripada kedua-dua negara itu.

Ekoran gelombang jangkitan Covid-19 dengan ancaman penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti, Majlis Keselamatan Negara seperti dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pengembara yang pulang dari UAE wajib menjalani kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin yang sudah diwartakan.

Hal ini bermakna, Azmin sepatutnya menjalani kuarantin wajib bermula 4 Mei sejurus tiba di Malaysia sehingga 17 Mei ini.

Tiada ulasan: