"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemuda Indonesia didakwa maut selepas divaksin

Bernama

JAKARTA: Seorang pemuda berusia 22 tahun di Indonesia dilapor meninggal dunia pada Jumaat lepas, sehari selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 AstraZeneca.

Menurut laporan media tempatan, pemuda bernama Trio Fauqi Virdaus berasal dari Buaran, Jakarta itu menerima suntikan vaksin berkenaan pada Khamis lepas (6 Mei) dan mengalami demam.

Beliau disahkan meninggal dunia keesokannya ketika menerima rawatan di hospital.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Indonesia Siti Nadia Tarmizi dalam satu kenyataan berkata belum terdapat bukti jelas kematian itu disebabkan vaksin berkenaan, dan pihak berkuasa sedang melakukan siasatan rapi berhubung kes itu.

Menurut media tempatan yang memetik kenyataan keluarga mangsa, Trio Fauqi dilaporkan sihat sebelum menerima suntikan berkenaan dan tidak pernah mengalami sebarang penyakit kronik.

Indonesia memulakan program vaksinasi sejak 13 Jan lepas menggunakan vaksin jenis Sinovac. Bermula 8 Mac lepas Indonesia turut menggunakan vaksin AstraZeneca, manakala vaksin Sinopharm mula digunakan pada April lepas.

Menurut data yang disiarkan di laman twitter rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia @BNPB_Indonesia setakat semalam, lebih 13.4 juta orang telah menerima dos pertama vaksin, manakala lebih 8.7 juta penduduk telah menerima dos kedua.

Tiada ulasan: