RK Anand
Ketika pentas politik hangat dengan spekulasi yang mengatakan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam keadaan genting, mantan peguam negara Tommy Thomas memberi peringatan kepada pihak yang menggesa pilihan raya.
Dalam wawancara dengan Malaysiakini, Thomas, yang menyebut Muhyiddin sebagai “outgoing prime minister” (perdana menteri yang bakal menamatkan perkhidmatan) mengatakan ada kemungkinan presiden Bersatu itu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.
"Baginda harus menolaknya," tambahnya.
Thomas mengatakan bahawa adalah tidak bertanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya di tengah lonjakan kes Covid-19, yang telah meragut lebih dari 11,000 nyawa di Malaysia.
"Pilihan raya di Sabah (tahun lalu) menunjukkan betapa bahayanya (mengadakan pilihan raya ketika pandemik).
"Saya tidak hanya bercakap tentang orang yang mengundi hari pengundian tetapi juga masa kempen. Agar demokrasi berkembang, anda tidak boleh menghapuskan tempoh kempen dan berkempen boleh menyebabkan lebih banyak jangkitan dan kematian.
"Jadi, mengadakan pilihan raya pada saat ini akan menjadi bencana dan malapetaka yang besar
"Sangat semberono dan tidak bertanggungjawab bagi Muhyiddin untuk meminta ini (bubarkan parlimen). Ini akan menunjukkan dia hanya peduli terhadap masa depan peribadinya dan bukan pada rakyat,” tambahnya.
Dalam catatan yang sama, Thomas merujuk bagaimana kabinet telah menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat di Sarawak hingga 22 Februari tahun depan untuk menangguhkan pilihan raya negeri kerana Covid-19.
"Ini adalah keputusan yang tepat. Oleh itu, bagaimana anda boleh melakukan perkara yang betul untuk Sarawak tetapi, sebaliknya, meminta pilihan raya umum?" tambahnya.
Sebelum ini, Muhyiddin mengatakan bahawa dia sedia berdepan usul undi percaya di Dewan Rakyat pada bulan September.
Dia juga mengatakan bahawa Agong telah bersetuju.
Ini berikutan dakwaan bahawa perdana menteri telah kehilangan majoriti setelah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan ahli parlimen parti yang bersekutu dengannya menarik sokongan mereka terhadap Muhyiddin.
Namun, Muhyiddin menegaskan sebaliknya, sementara pengkritiknya menuntut agar Parlimen bersidang secepat mungkin untuk mengundi usul tersebut, dengan menyifatkan penangguhan sehingga September akan memberikan ruang untuk menyusun pembelotan.
Sementara itu, Thomas mengatakan bahawa dalam keadaan seperti ini, Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan diguna pakai.
Perkara 43 (4) menetapkan bahawa seorang perdana menteri diwajibkan untuk mengundurkan diri jika dia tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli parlimen.
Sekiranya benar bahawa Muhyiddin tidak lagi memiliki majoriti, Thomas menasihatkan perdana menteri itu untuk memilih pendekatan yang bermaruah dan berundur.
“Daripada kalah dalam undi, perdana menteri harus menjaga maruahnya. Dia harus memohon menghadap Agong dan mengundurkan diri,” tambahnya.
Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac tahun lalu, berikutan rampasan kuasa politik yang menyebabkan kejatuhan pemerintahan Pakatan Harapan yang berusia 22 bulan.
Pentadbirannya dikritik hebat kerana dilihat gagal menangani pandemik Covid-19, walaupun berjaya meyakinkan Agong untuk mengisytiharkan darurat, yang juga menyebabkan penggantungan Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan