SITI NUR ZAWANI MISCON
Majlis Presiden Pakatan Harapan menyeru semua Ahli Parlimen yang menentang dan menolak Tan Sri Mahiaddin Md Yasin untuk bersama di meja rundingan sekarang untuk membentuk sebuah kerajaan yang inklusif, adil dan progresif dengan jaminan setiap parti akan dilayan secara adil.
PH berkata, kesemua penentang Mahiaddin dijemput untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri bagi membuktikan sokongan serta membentuk satu majoriti baharu di Parlimen.
“Demi masa depan rakyat dan negara, semua pihak yang menentang Tan Sri Mahiaddin perlu bersama di meja rundingan sekarang.
“Amatlah penting semua pihak dapat bersatu di bawah sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang mampu memperbetul segala kepincangan dan kegagalan Perikatan Nasional menjelang undi percaya terhadap Perdana Menteri nanti.
“Ini supaya sebarang pengambil alihan kerajaan hanya akan berlaku bersama pihak-pihak yang bersetuju dengan prinsip-prinsip dan landasan perjuangan termasuk reformasi institusi, tatakelola dan urus tadbir yang baik, dan institusi kehakiman yang bebas,” kata PH dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan tersebut dibuat bersama Anwar, AMANAH Mohamad Sabu dan DAP Lim Guan Eng.
Menerusi kenyataan sama, PH menegaskan bahawa negara amat memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berkesan, dan dipimpin seorang Perdana Menteri yang mempunyai keabsahan serta sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
Tambahnya, walaupun setakat ini umum sedia maklum hanya 100 Ahli Parlimen menyokong Mahiaddin, namun beliau enggan meletakkan jawatan secara terhormat berdasarkan Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat berharap para pemimpin politik akan dapat mencapai penyelesaian yang mampu merungkai masalah ini dan seterusnya membolehkan kepimpinan berwibawa tampil untuk membantu negara membendung penularan wabak Covid-19 dan memacu pemulihan ekonomi pasca-pandemik,” ujarnya lagi.
Pada masa sama PH berpendirian untuk tidak menyokong pilihanraya diadakan dalam tempoh yang terdekat ketika pandemik sedang memuncak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan