Hariz Mohd
Usaha untuk menjatuhkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dengan memaksa pemilihan parti itu diadakan boleh memakan diri bagi Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional, menurut penganalisis.
Mereka percaya tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memutuskan penangguhan pemilihan parti itu sebagai tidak sah akan menarik lebih banyak sokongan kepada Zahid.
"Ternyata tindakan terbaru ini menyebabkan akar umbi Umno percaya ia sebahagian daripada usaha untuk menyekat Umno daripada menggagalkan kerajaan dalam undi percaya nanti.
"Sudah pasti gelombang akar umbi Umno bangkit mempertahankan Umno dan mana-mana yang dilihat tidak menyokong Umno dalam hal ini akan ditolak oleh akar umbi Umno," kata Awang Azman Awang Pawi.
Malaysiakini telah menghubungi ahli akademik Universiti Malaya itu dan dua lagi penganalisis politik untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai surat ROS kepada Umno.
ROS memutuskan penangguhan pemilihan Umno tidak sah kerana tempoh pemegang jawatan Majlis Tertinggi parti itu telah tamat apabila mereka membuat keputusan berkenaan.
Awang Azman berkata, motif di sebalik arahan ROS itu dipersoalkan kerana ia berlaku setelah Umno mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada menyokong PN.
Katanya lagi, tindakan itu yang menurutnya merupakan usaha untuk menyingkirkan Zahid mungkin menyebabkan berlaku perkara sebaliknya.
"Sudah pasti tindakan terhadap Umno menambahkan ketidakpuasan akar umbi Umno dan rasa marah terhadap pemimpin Umno yang masih bersama PN akan melonjak.
"Naratif ini akan beri kesan buruk kepada pemimpin Umno yang masih sokong Muhyiddin kerana seolah-olah dan dianggap bersekongkol," katanya.
'Kehendak parti'
Menurut geostrategis Azmi Hassan, senario semasa dalam Umno kelihatan berpihak kepada Zahid sekiranya parti itu terpaksa mengadakan pemilihan.
Katanya, ahli Parlimen Bagan Datuk itu dilihat oleh kebanyakan ahli Umno sebagai pemimpin yang memperjuangkan kehendak parti itu.
"Jikalau diadakan pemilihan dan jikalau Zahid mempertahankan jawatan, mesti ada pencabarnya daripada kumpulan lain yang menentangnya
"Tapi kalau diikutkan senario dalam Umno sekarang ini, ahli Umno kebanyakannya bersama Zahid.
"Dalam satu senario, kalau pertandingan diadakan secara maya, kemungkinan besar Zahid akan dapat mengenepikan pencabar-pencabarnya.
"Ini kerana Zahid dikatakan mementingkan parti dan kehendak akar umbi, atau kehendak resolusi PAU," katanya.
Sekiranya Zahid menang, tambah Azmi, akan lebih mudah bagi presiden untuk menolak pemimpin lain yang pro-PN kerana mereka sudah ditolak oleh ahli.
Pertembungan antara kepemimpinan tertinggi Umno dan Muhyiddin menyebabkan parti Melayu terbesar itu menarik balik sokongannya terhadap kerajaan PN minggu lalu.
Zahid dalam mengumumkan keputusan itu mendakwa Muhyiddin telah hilang majoriti dan hilang keabsahahan sebagai ketua kerajaan.
Namun, Zahid juga menghadapi tentangan oleh sekumpulan pemimpin, termasuk ahli parlimen dalam parti itu.
Mereka menolak keputusan Umno dan secara terbuka menyatakan akan terus menyokong Muhyiddin.
Di antara mereka yang dilihat pro-PN termasuk Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, yang merupakan naib presiden Umno, dan beberapa anggota kabinet lain termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.
James Chin dari Universiti Tasmania percaya Ismail kemungkinan besar akan ditempatkan sebagai calon untuk menentang Zahid, sekiranya Umno mengadakan pemilihannya tidak lama lagi.
"Semuanya dikaitkan dengan perebutan kuasa. Hakikat bahawa surat itu dikeluarkan sekarang bermaksud ini bukan kebetulan.
"Terdapat dua gerakan sekarang, satu untuk menyingkirkan Zahid sebagai Pengerusi Barisan Nasional, dan satu lagi untuk menggugurkannya sebagai presiden Umno.
"Jadi ideanya adalah, jika Umno mengundi sekarang, maka mereka yang pro-Muhyiddin akan meletakkan calon alternatif mereka. Dan saya percaya ia adalah Ismail Sabri, bukan orang lain," katanya kepada Malaysiakini.
Namun, dia percaya bahawa Umno mungkin memilih untuk mencabar keputusan ROS itu di mahkamah.
Chin berkata, sekiranya Umno berjaya mendapatkan perintah penangguhan, parti itu mempunyai "ruang bernafas" sehingga sesi parlimen akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan