"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perdana Menteri yang tidak sah meletakan negara pada risiko yang tinggi

HANIPA MAIDIN

Telah menjadi rahsia terbuka (an open secret), YAB Perdana Menteri yang menerajui negara sekarang ini bukan sahaja menerajuinya tanpa mandat rakyat, akan tetapi juga telah kehilangan suara majoriti di dalam Dewan Rakyat.

Walaupun, pada zahirnya, beliau dilihat sedang “bertaici” bagi cuba mengelirukan ramai pihak yang kononnya beliau masih seorang Perdana Menteri yang sah, faktanya adalah jelas dan terang bahawa beliau memang tidak lagi mempunyai sokongan yang diperlukan bagi menjadi seorang Perdana Menteri.

Dari sudut Perlembagaan Persekutuan iaitu undang-undang tertinggi di negara ini, apa yang beliau lakukan sekarang ini, secara jelas telah melanggar sumpah kesetiaan yang beliau ikrarkan bagi menjunjung dan mempertahankan ketinggiannya.

Beliau, hakikatnya, pada masa ini sedang menjawat jawatan Perdana Menteri secara tidak sah dan dengan dengan tidak menghormati sama sekali undang-undang dan ketinggian Perlembagaan Persekutuan. Malang sungguh bagi Malaysia kerana terpaksa melakar sejarah buruk dan memalukan ini.

Dengan erti kata lain, beliau seolah-olah membiarkan dirinya melakukan perkara yang tidak sah. Jujurnya, saya agak keliru mengapakah beliau boleh begitu berani melakukan perbuatan ini sehingga ke tahap ini?

Jelas, ini suatu perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan boleh ditafsirkan sebagai kes penyalahgunaan kuasa yang terbuka (a glaring abuse of power).

Tidak perlu diperkatakan lagi, bahawa kewujudan undang-undang dan Perlembagaan, antara lain, adalah bagi memastikan setiap tindakan mana-mana pihak khususnya sebuah Kerajaan itu sentiasa sah dan di dalam ruang lingkup undang-undang dan Perlembagaan.

Dalam sistem demokrasi yang berasaskan Perlembagaan, sering dikatakan bahawa kewujudan Perlembagaan itu

melambangkan bahawa kuasa Kerajaaan itu terhad dan tidak mutlak. 

Nampaknya, sekarang ini ianya agak berbeza. Kewujudan Perlembagaan adalah amat penting sebagai alat pengekang kuasa kerana jika mana mana tindakan Kerajaan itu adalah tidak sah, hakikatnya, ia meletakkan sesebuah negara itu berada dalam bahaya dan risiko amat tinggi.

Sebuah Kerajaan itu hakikatnya diketuai oleh seorang Perdana Menteri yang kemudiannya dibantu oleh para anggota pentadbirannya.

Keseluruhan mereka itu juga digelar sebuah Kerajaan. Jika seorang Perdana Menteri itu sendiri adalah berstatus tidak sah maka para anggota pentadbirannya juga adalah dikira tidak sah.

Oleh yang demikian, dalam bahasa mudah, status Kerajaan itu juga dikira tidak sah. Ini adalah perkara yang asas.

Mengapakah status keabsahan seorang Perdana Menteri itu amat mustahak?

Jawapannya, seorang Perdana Menteri itu amat perlu melakukan pelbagai tugas rasmi yang diperuntukkan di bawah undang-undang dan Perlembagaan.

Justeru itu, secara tersirat, kedudukan dan status beliau itu sewajarnya tidak perlu diragui dari segi keabsahan (legitimacy).

Di dalam Perlembagaan Persekutuan, terlalu banyak peruntukkan di dalamnya yang menuntut penglibatan rasmi seorang Perdana Menteri sama ada secara langsung atau tidak secara langsung.

Oleh itu, jika status atau posisi kedudukan rasmi Perdana Menteri itu sendiri adalah tidak sah, sudah tentu ianya tidak wajar untuk beliau turut mengheret atau mendedahkan negara ini kepada risiko perundangan yang amat tinggi.

Dalam bahasa perundangan tindakan yang beliau lakukan sekarang ini boleh dikatakan tergolong sebagai “misfeasance in public office”

Pada tahun 2017, Mahkamah Persekutuan di dalam negara ini pernah memutuskan isu “misfeasance in public office” di mana, antara lain, mahkamah tertinggi negara ini telah memutuskan bahawa perdana menteri dan para menterinya boleh disaman atas kausa tindakan “misfeasance in public office”.

Jawatan Perdana Menteri bukanlah jawatan yang bersifat peribadi. Ia adalah jawatan awam yang melibatkan, antara lain, pembiyaaan dari sumber dana awam.

Bayangkan, misalnya, jika pelantikan seseorang ke jawatan penting yang melibatkan penglibatan Perdana Menteri yang tidak sah, Tidakkah ianya memberi risiko?

Atau misalnya penglibatan seorang Perdana Menteri yang meluluskan sesuatu transaksi yang melibatkan wang negara atau hubungan diplomatik dengan negara-negara luar? Tidakkah ianya berisiko?

Meskipun Perdana Menteri dan para anggota pentadbirannya kelihatannya tidak ada sedikit pun rasa malu dan bersalah, kita masih mengharapkan beliau masih boleh berfikir dengan waras dan lurus, agar beliau tidak tergolong dalam posisi kedudukan pihak yang salah di dalam sejarah (the wrong side of history).

Tiada ulasan: