"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

6 anggota polis dikenal pasti samun warga Nepal

Faris Fuad

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti enam anggotanya yang disyaki terbabit dalam kes samun lelaki warga Nepal di Jalan Selingsing, Taman Sri Kuching, semalam.

Difahamkan, semua anggota yang terbabit berpangkat rendah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pihaknya kini sedang giat menjalankan siasatan berhubung kes itu daripada setiap sudut.

"Kita membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada mangsa dan kes sedang disiasat.

"Setakat ini saya masih belum boleh memberi pengesahan dan perincian mengenai kes berkenaan, termasuk pangkat anggota polis yang terbabit," katanya kepada BH hari ini.

Mangsa berusia 29 tahun dan bekerja sebagai operator kilang itu dipercayai disamun wang berjumlah RM255 selepas cuba melarikan diri daripada sekumpulan anggota polis yang sedang membuat rondaan akibat panik permit kerja tamat tempoh.

Lokasi kejadian itu dikatakan di kawasan parkir yang tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan berkaitan kes itu.

"Kalau kes samun, ia tergolong dalam kegiatan jenayah maka kebiasaannya polis di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan menyiasat kes itu.

"Beri ruang kepada IPD untuk rakam keterangan individu berkaitan bagi siasatan lanjut. JIPS akan menyusul kemudian untuk menyiasat daripada segi kesalahan tatatertib," katanya.

Tiada ulasan: