TAUFEK YAHYA
Khamis lalu, perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan barisan anggota kabinetnya. Tidak banyak bezanya komposisi anggota kabinet yang diumumkan Ismail berbanding kabinet Mahiaddin Yasin. Ismail masih mengekalkan saiz kabinet yang besar dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri. Pastinya tujuan utama kabinet mega itu dibentuk bukan untuk menangani wabak Covid 19, tetapi untuk memastikan parti-parti yang menyokong Sabri sebagai calon PM ke-9 punyai wakil dalam kerajaan.
Selain mengekalkan beberapa bekas menteri ke jawatan asal mereka, ada juga bekas menteri dalam kabinet PN 1.0 yang hanya bertukar portfolio. Terdapat juga ‘muka baru’ yang dibawa masuk sesuai dengan dominasi Umno dalam kerajaan yang baru dibentuk. Memang ada beberapa menteri yang digugurkan, tapi ia bukan atas sebab kegagalan mereka melaksanakan tugas. Ada yang perlu memberi ruang kepada rakan yang lebih senior jawatannya dalam parti atau punya masalah dengan parti yang disertai. Jika prestasi dijadikan sandaran, pastinya majoriti anggota kabinet baru yang dibentuk Ismail tidak layak untuk dilantik semula.
Kesimpulannya, kabinet baru yang dibentuk Ismail tidak diyakini mampu memperbaiki kelemahan kabinet Mahiaddin. Malah kolumnis Bloomberg.com, Daniel Moss dalam ruangan pendapatnya bertarikh 23 Ogos menyatakan Ismail perlu memikul ‘sampah lama’ yang ditinggal pentadbiran Mahiaddin (Malaysia’s New Leader Carries Old Baggage).
Persoalannya mengapakah Mahiaddin sahaja yang perlu memikul tanggung jawab terhadap kegagalan kerajaan pimpinannya dalam menangani kesan pandemik Covid 19? Mengapa majoriti anggota kabinet beliau termasuk Ismail dipilih semula? Malah Ismail yang menjawat timbalan perdana menteri dan sebelumnya menteri kanan dipilih pula sebagai perdana menteri.
Jawapannya cukup terang lagi bersuluh. Keseluruhan episod kejatuhan PN 1.0 berpunca daripada perancangan Umno untuk kembali menerajui negara walaupun baru 22 bulan menjadi pembangkang dan 18 bulan menyertai kerajaan baru pimpinan Bersatu setelah PH ditumbangkan.
Itulah hebatnya Umno, ‘parti keramat’ yang lebih enam dekad menerajui pentadbiran negara. Dan pastinya pihak yang patut diberikan kredit kepada kembalinya Umno dipersada politik negara adalah Bersatu dan Pas; dua parti yang lahir dari ‘tulang rusuk’ Umno.
Setelah gagal membentuk kerajaan atas nama BN selepas PRU14 pada April 2018, tidak ada perubahan besar yang berlaku pada Umno kesan daripada kekalahan itu selain pengunduran Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden parti. Walaupun beberapa parti gabungan BN bertindak meninggalkan gabungan itu dan membawa haluan sendiri, ia tidak menjejaskan Umno sebagai parti teras BN. Malah Umno membentuk pula gabungan dengan Pas atas nama Maufakat Nasional (MN).
Bagai mengantuk dihulurkan bantal, kesempatan diambil baik Umno apabila Bersatu pimpinan Mahiaddin bersama 14 ahli parlimen PKR diketuai Azmin Ali bertindak mengkhianati PH melalui ‘Langkah Sheraton’ pada Februari 2020 yang menyaksikan gabungan PH hilang majoriti. Maka kerajaan ‘Melayu-Islam’ pun tertubuh dengan ‘kambing hitamnya’ DAP. Bersatu pastinya berpuashati apabila Mahiaddin dilantik menerajui kerajaan baru itu. Namun beberapa bulan kemudian, ia mula kehilangan dominasinya dalam kerajaan negeri Johor, Kedah dan timbalan presidennya tersingkir sebagai MB di Perak.
Kemaraan Umno diteruskan dengan kempen untuk menyingkirkan Mahiaddin. Walaupun Umno punya menteri dan timbalan menteri dalam kabinet PN 1.0, kegagalan kerajaan dalam menangani wabak Covid 19 dijadikan modal bagi melumpuhkan sokongan terhadap presiden Bersatu. Umno sedar bahawa PH tidak akan bersama Mahiaddin yang mengkhianat gabungan itu maka sebahagian ahli parlimennya digerakkan untuk menarik sokongan terhadap beliau.
Bagi mengelakkan pentadbiran negara kembali ke tangan PH, maka parti-parti gabungan PN sebulat tekad mencalonkan Ismail yang juga naib presiden Umno sebagai perdana menteri. Maka berakhirnya dominasi Bersatu dalam PN dan Umno kembali menerajui pentadbiran negara.
Seperkara yang menarik untuk dilihat dalam episod ini adalah peri ‘istiqamahnya’ Umno dalam mengharungi badai politik negara. Parti itu tidak perlu menggadaikan dasar dan pendiriannya sebagai parti Melayu semata-mata untuk kembali berkuasa. Tiada sebarang janji dihamburkan kepada ahli dan penyokongnya untuk menjadikan parti itu terus relevan. Apa yang dicapai Umno sekarang ini lebih bersandarkan kepada kepintaran dan kelicikan pemimpinnya berpolitik. Berbeza dengan sekutunya Pas yang secara rela mengendurkan pendirian dan prinsip Islamnya semata-mata untuk bersama mentadbir negara.
Umno ternyata berjaya mentarbiah Pas dan menjadikan parti itu sebagai parti moderat. Tidak siapa dapat membayangkan bagaimana dua parti Melayu yang dahulunya bermusuh kita menjadi sekutu rapat. Ekstremisme Pas terhadap agama lebur dengan kebijakan politik Umno. Diharapkan Umno akan terus berperanan membendung ekstremisme Pas dalam isu-isu membabitkan agama seperti hudud, judi dan arak; seterusnya menghormati perlembagaan negara dan realiti Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.
Begitulah keramatnya Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan