"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

100 hari Ismail Sabri sengaja ‘bunuh diri’?

SHAHBUDIN HUSIN

Sebelum mengumumkan senarai kabinetnya pada Jumaat, 27 Ogos lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mahu setiap menterinya membuktikan pencapaian awal mereka dalam tempoh 100 hari pertama menjalankan tugas.

Untuk itu, katanya, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Meski menekankan budaya kerja berprestasi tinggi, Ismail Sabri seterusnya berharap susunan kabinet yang dibuatnya mampu bangkit untuk memberi keyakinan membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, sebaik saja kemudiannya beliau menyebut nama-nama menteri dan timbalan menteri yang dilantiknya, tempoh 100 hari yang ditetapkannya itu mula menjadi persoalan.

Hampir tidak ada yang menaruh keyakinan pasukannya itu mampu membuahkan apa-apa kejayaan kerana mereka adalah terdiri daripada pemain-pemain yang telah terbukti gagal selama 17 bulan di bawah kendalian Mahiaddin Md Yasin.

Maka, untuk apa sebenarnya beliau menetapkan 100 hari pertama bagi menilai prestasi menteri-menterinya sedangkan mereka adalah ambilan daripada pasukan kerajaan gagal PN sebelum ini?

Apa yang beliau mahu harapkan daripada mereka yang gagal itu? Tidak cukup dengan itu, Ismail Sabri sendiri adalah sebahagian daripada pasukan kerajaan gagal tersebut.

Oleh itu, bagaimana mahu diharapkan sebuah pasukan yang gagal yang hanya bertukar ketua pasukannya untuk menghasilkan keputusan yang berbeza, apa lagi berjaya?

Dalam hal ini, dengan memberi tempoh 100 hari untuk pemain-pemain yang telah terbukti gagal itu membuktikan prestasi baik mereka sebelum ini, ia tidak lebih umpama Ismail Sabri sengaja menempah untuk “bunuh diri”.

Beliau dan menteri-menterinya akan sentiasa diperhati dalam setiap aspek kedudukan serta keistimewaan sebagai anggota kabinet.

Bahkan belum pun beliau membentuk kabinetnya, tindakannya membawa kawan-kawannya menaiki jet eksekutif milik kerajaan dan untuk kegunaan Perdana Menteri ke Kedah melawat mangsa banjir telah pun menimbulkan kegemparan yang tidak menyenangkan rakyat mendengarnya.

Bayangkan berapa banyak lagi kegemparan bakal berlaku menjelang 100 hari akan datang?

Selain itu, apa jadi jika selepas 100 hari nanti tiada apa-apa prestasi baik atau kejayaan ditunjukkan oleh menteri-menterinya?

Apakah beliau sedia mengganti dan memecat mereka? Atau Ismail Sabri sendiri secara rela hati akan mengundurkan diri dan meletakkan jawatannya?

Tetapi, jika terus kekal dengan jawatannya pula – yang pasti – kecaman rakyat dan serangan netizen tentu saja lebih bertali arus serta berkali ganda daripada apa yang diterima Mahiaddin sebelum ini.

Secara mudahnya, tidakkah meletakkan tempoh 100 hari itu suatu beban buat Ismail Sabri sendiri?

Tiada ulasan: