"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

ROS buat pusingan-U, keputusan Umno tangguh pemilihan kini sah

Malaysiakini 

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah membatalkan keputusannya yang menyatakan keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti tidak sah.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengesahkan menerima surat daripada Ketua Pengarah ROS Jasri Kasim yang memaklumkan kepadanya mengenai keputusan baru itu petang tadi.

Ahmad mengatakan perkembangan itu hadir setelah dia dan peguam Umno menyerahkan dokumen dan pernyataan tambahan kepada ROS pada 9, 11 dan 18 Ogos serta penjelasan yang dibuat oleh sebilangan ahli majlis tertinggi Umno pada 24 Ogos.

"Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam Umno berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan Umno untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur," katanya. 

Oleh itu, katanya pemilihan untuk semua jawatan dalam majlis tertinggi, bahagian dan cabang Umno akan ditunda sehingga tarikh yang akan diumumkan.

Pemilihan parti itu mesti diadakan sebelum 29 Disember 2022.

Bagaimanapun, katanya, perhimpunan agung tahunan di semua peringkat masih boleh berlangsung tahun ini.

"Tarikh akan diumumkan kemudian," katanya.

Ahmad Maslan mengucapkan terima kasih kepada pihak ROS atas kerjasama yang diberikan.

ROS pada 6 Ogos menyatakan bahawa keputusan Umno untuk menangguhkan pemilihan partinya selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ini dengan alasan bahawa majlis tertinggi parti membuat keputusan untuk menangguhkan hanya setelah masa penggalnya telah berakhir.

Bagaimanapun, Ahmad menjelaskan bahawa keputusan itu diambil sebelum berakhirnya penggal perkhidmatan mereka.

Tiada ulasan: