"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukan kesalahan jenayah? Adakah anda betul-betul yakin Mr. PM?

MOHAMED HANIPA MAIDIN

Saya agak tertarik membaca laporan media berkenaan komen YAB Perdana Menteri Gomen Tebuk Atap (Umno) yang secara jelas cuba membela kesalahan yang dilakukan oleh salah seorang YB Menteri dalam Gomen Tebuk Atap beliau (juga Umno).

Al-kisah, YB Menteri berkenaan telah dilaporkan telah membayar kompaun kerana melanggar SOP di bawah Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Secara mudahnya, bila menteri itu bersetuju membayar kompaun, maknanya beliau dianggap telah bersalah. Sama ada kesalahan itu serius atau tidak itu isu persepsi.

Logiknya, sudah tentu tak sama apabila rakyat biasa langgar SOP dan apabila Menteri pula yang langgar SOP apatah lagi jika menteri itu berada di dalam kerajaan yang sedang sibuk menguatkuasakan SOP tersebut.

Sebelum saya menjawab komen YAB Perdana Menteri, mungkin eloknya saya kongsi di sini dua istilah latin yang biasa diajarkan kepada para pelajar undang-undang semasa mereka belajar undang-undang jenayah (criminal law).

Istilah-istilah itu adalah “mala in se” dan “mala prohibita“.

Secara mudahnya, “mala in se” adalah kesalahan jenayah yang memang salah dengan sendirinya (wrong or evil in itself) walaupun misalnya kesalahan itu tidak disebut dalam mana-mana undang-undang seperti Akta.

“Mala prohibita” pula secara mudah adalah sebarang kesalahan jenayah yang secara jelas disebut dalam Akta misalnya.

Dalam konteks kes yang melibatkan YB Menteri Umno yang sedang dibela oleh YAB PM Umno itu, jelas ia termasuk dalam kesalahan jenayah yang dipanggil “mala prohibita“.

Suka atau tidak suka ia adalah suatu kesalahan jenayah sebab kesalahan itu disebut di dalam Akta 342 walaupun hukumannya boleh dikompaun. Itu soal lain.

Jika kita lihat bahagian V Akta 342 tersebut (KESALAHAN DAN PENALTI), ia ada menyebut terma-terma seperti kesalahan, pendakwaan, penalti am dan kompoun yang mana saya hujahkan terma-terma tersebut adalah suatu yang biasa wujud hanya dalam undang-undang yang ada elemen jenayah.

Suatu yang mungkin ramai tidak sedar bahawa antara perbezaaan asas/utama undang-undang jenayah dan undang-undang lain adalah dalam undang-undang jenayah, negara adalah aktor utamanya.

Kesalahan jenayah adalah kesalahan ke atas negara hakikatnya walaupun sudah tentu kategori kesalahan jenayah itu berbeza dari pelbagai dimensi seperti tahap keseriusannya. Tetapi ia tetap JENAYAH!

Dalam kes jenayah, sebarang pelanggaran kesalahan hanya boleh diambil tindakan oleh NEGARA melalui ejen-ejennya seperti polis, para penguatkuasa yang ditentukan oleh undang-undang dan pendakwaraya.

Kesimpulannya kesalahan YB Menteri yang dibela oleh YAB PM itu hakikatnya adalah kesalahan JENAYAH walaupun hukumannya boleh dikompoun dan tidak menghilangkan kelayakannya sebagai Ahli Parlimen.

Maaf YAB PM, YB Menteri anda telah melakukan kesalahan jenayah yang Gomen anda sendiri sedang menguatkuasakannya ke atas rakyat negara ini. Di situlah isunya YAB Mr PM!

والله اعلم.

YB Sepang.

15/2/2022.

Tiada ulasan: