SHAHBUDIN HUSIN
Sejak kelmarin, heboh di media sosial tentang penularan sekeping gambar melibatkan Najib Razak yang dilihat tersenyum riang sambil diapit dua lelaki dan tiga orang wanita.
Seorang wanita yang berdiri di sebelah Najib didapati memaut erat lengan bekas Perdana Menteri itu dengan wajah penuh keriangan dan kebahagiaan.
Berikutan tersebarnya gambar tersebut, ramai yang memperkatakan ia adalah gambar Najib bersama isterinya yang baru.
Sehubungan itu, ada yang tampil mengesahkan, wanita di sebelah Najib itu memang isteri yang baru dinikahinya bersama tiga anaknya serta seorang menantu lelakinya.
Sepantas itu juga, di laman media sosial Najib segera dipenuhi dengan ucapan tahniah dan selamat pengantin baru, termasuk daripada Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Kedudukan Najib yang diperkatakan berkahwin lagi satu memang sudah menjadi bualan ramai sejak lebih setahun yang lalu lagi.
Diberitakan isteri baru beliau itu ialah bekas isteri seorang komposer terkenal suatu ketika dahulu dan pernah menjadi pramugari.
Bagaimanapun, tiada bukti atau pengesahan diberikan oleh mana-mana pihak mengenai perkahwinan beliau itu.
Sejak diberitakan berkahwin lagi, Najib juga dilihat dan diperkatakan ramai semakin ceria penampilannya dan sentiasa bersemangat, seolah-olah mendapat suntikan vitamin baru dalam hidupnya.
Bagaimanapun, Najib sehingga ini masih membisu dan enggan mengia atau menidakkan mengenai perkahwinannya itu, walaupun dalam banyak isu lain, beliau begitu cepat memberi reaksinya.
Mendirikan rumahtangga ibarat membina masjid dan ia adalah perkara baik dalam agama, malah tidak digalakkan menyembunyikannya kerana ia mungkin boleh mengundang fitnah.
Sebab itu, dalam hal ini, sementara isu perkahwinan ini sudah lama diperkatakan dan terbaru pula tersebar gambar mengenainya, adalah lebih baik Najib berterus-terang saja.
Buat benda baik buat apa nak sembunyi-sembunyi.
Kalau benar sudah berkahwin dan wanita dalam gambar itu adalah isterinya yang baru, mengaku dan berkongsilah berita gembira itu dengan rakyat seluruh negara ini.
Kalau itu bukan isterinya, segeralah pula membuat penafian supaya tidak ada sesiapa terpalit dengan fitnah.
Cuma jika benar wanita yang memaut lengannya itu adalah isteri daripada perkahwinan terbarunya, ramai kaum lelaki ingin tahu daripadanya – di mana beliau beli ubat berani?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan