FMT Reporters
PETALING JAYA: Langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dan Perak dilaporkan sedang dijalankan, manakala perbincangan sedang diadakan di Pulau Pinang sama ada akan mengadakan pilihan raya negeri dan persekutuan secara serentak.
Menteri Besar Perlis, Azlan Man dan Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad dilaporkan sedang memohon perkenan raja dan sultan masing-masing untuk membubarkan DUN.
Namun, tiada tarikh untuk sesi menghadap sultan dan raja ditetapkan.
Perlis, Pahang dan Perak diterajui Barisan Nasional, di mana Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, negeri pimpinan gabungan itu akan dibubarkan selaras pembubaran Parlimen.
Pakatan Harapan, yang mentadbir Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sebelum ini berkata, tiga DUN itu akan berkhidmat sehingga penggalnya tamat.
Tetapi, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow daripada DAP berkata, pemimpin parti itu akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk membincangkan perkara itu sebelum mengatur pertemuan dengan rakan komponen PH di negeri itu.
Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah pula berkata, parti itu yang memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membubarkan DUN, meskipun perdana menteri sudah mengumumkan pembubaran Parlimen.
“Keputusan itu masih terpakai, namun apa berlaku sehari dua lagi saya tidak tahu. Kita ada masa untuk bubar DUN paling cepat adalah Mac tahun depan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Di Sabah, Ketua Menteri, Hajiji Noor dilaporkan berkata, kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah dan BN masih mempunyai tiga tahun untuk melengkapkan tempohnya.
Empat negeri mengadakan pilihan raya negeri (PRN) berasingan selepas PRU 2018.
Sabah mengadakan PRN pada September 2020, disusuli Melaka pada November 2021, Sarawak (Disember 2021) dan Johor (Mac 2022). Empat DUN ini mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum mencapai tempoh matang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan