Jason Thomas
Anak lelaki Najib Razak, Nizar, yang bertanding di kerusi Pekan akan mengekalkan legasi bekas perdana menteri itu, kata seorang penganalisis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Najib Razak kesuntukan masa untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan, kata seorang penganalisis.
Bekas perdana menteri itu telah menjadi Ahli Parlimen selama lima penggal sejak 1976 di kerusi yang disandang bapanya dari 1959. Bagaimanapun, dengan pilihan raya umum yang akan diadakan dalam masa beberapa minggu, Najib mungkin kesuntukan untuk layak bertanding.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun atas tuduhan rasuah dalam kes SRC International. Beliau telah memfailkan semakan untuk membatalkan sabitannya dan juga telah memohon pengampunan diraja.
Beliau mungkin tidak akan memperolehi keputusan tepat pada masanya untuk layak menjadi calon dengan pengundian mungkin diadakan pada 4 Nov atau 6 Nov, kata penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara.
“Saya rasa masa Najib (sebagai) Ahli Parlimen berakhir dengan Parlimen ke-14,” kata Azmi.
Bagaimanapun, Azmi berkata, terdapat peluang “sangat tinggi” buat anak Najib, Nizar bertanding di kerusi Pekan. Nizar, ketua Pemuda Umno Pekan dilihat mampu meneruskan legasi Najib.
Parlimen Pekan telah dipegang oleh keluarga itu sejak 1959, pertama dengan bapa Najib yang juga perdana menteri kedua, Abdul Razak Hussein, dan kemudian oleh Najib susulan kematian Razak, kecuali untuk satu penggal pada 1982-1986 ketika Najib menjadi menteri besar Pahang.
Seorang lagi penganalisis bersetuju, bahawa Nizar adalah calon utama untuk mengambil alih kerusi Najib di Pekan.
“Saya fikir mereka sedang berusaha untuk meletakkan Nizar bagi menggantikan bapanya sebagai calon untuk Pekan,” kata Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura.
Pada Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan Nizar berkemungkinan bertanding di kerusi Pekan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan