"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja dibakar hidup-hidup oleh perogolnya

Agensi

New Delhi: Seorang remaja perempuan masih bertarung nyawa di sebuah hospital di utara India selepas lelaki yang dipercayai merogolnya hingga hamil bertindak kejam dengan membakarnya hidup-hidup.

Pegawai Kanan Polis di negeri Uttar Pradesh, Kamlesh Kumar Dixit memberitahu CNN, suspek lelaki berusia 18 tahun bersama ibunya ditahan Isnin lalu kerana disyaki bersubahat dalam cubaan membunuh selepas mereka didakwa menuang minyak tanah ke atas remaja itu sebelum membakarnya, pada 6 Oktober lalu.

Katanya, lelaki itu yang juga sepupu kepada remaja itu didakwa kerana merogol mangsa itu kira-kira tiga bulan lalu di Mainpuri, kira-kira 270 kilometer dari tenggara ibu negara India.

Insiden itu menyebabkan remaja berusia 15 tahun itu, hamil.

"Apabila mengetahui kehamilan gadis itu, keluarganya dan keluarga yang didakwa perogol berbincang sama ada kedua-duanya patut berkahwin," katanya yang enggan mengulas lanjut.

Press Trust of India yang memetik kenyataan polis itu melaporkan, gadis itu tertarik untuk ke rumah perogol itu atas alasan untuk berkahwin dengannya sebelum mangsa didakwa dibakar.

Tindakan keganasan ke atas remaja dan wanita yang kejam sering menjadi tajuk utama di Uttar Pradesh dengan kes terbaharu itu mencetuskan kemarahan orang ramai.

Seorang aktivis antirogol dari New Delhi, Yogita Bhayana berkata, kejadian itu menunjukkan kekurangan empati dalam kalangan masyarakat di India.

"Selama bertahun-tahun, kami cuba mengubah keadaan. Kes ini menunjukkan kegagalan sistem kita.

"Remaja itu sepatutnya dibantu," katanya.

Menurut Bhayana, ramai lelaki masih melihat rogol sebagai tindakan kuasa ke atas wanita.

"Kebanyakan kes keganasan tidak dilaporkan kerana mangsa terlalu takut untuk melaporkan kepada polis atau sering diajar mereka akhirnya harus dipersalahkan atas sebarang salah laku," katanya.

Pada 2019, kerajaan pusat meluluskan rancangan untuk membuka lebih 1,000 mahkamah pantas di seluruh India untuk membantu menyelesaikan kes rogol dan kesalahan seksual yang tertunggak terhadap kanak-kanak bawah umur.

Bagaimanapun, menurut data yang dikemukakan menteri undang-undang dan keadilan di Parlimen pada Disember 2021, kurang daripada 700 mahkamah seumpama itu ditubuhkan.

-hmetro 

Tiada ulasan: