Abd Hadi Che Awang
ALOR SETAR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kedah, Datuk Mahfuz Omar, menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk meletakkan jawatan susulan kenyataan yang didakwa mempersendakan agama Islam.
Menurut beliau, kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu yang berbentuk fatwa politik mengaitkan perbuatan melontar jamrah ketika ibadah haji dengan pilihan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang itu juga adalah sangat melampau.
Tambahnya, kenyataan berbentuk fatwa politik itu juga telah memberikan gambaran yang tidak baik terhadap agama Islam, selain mencemarkan Institusi Diraja yang melibatkan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Sehubungan itu, Mahfuz menggesa pihak berkuasa agama negeri di seluruh negara terutama di Kedah mengambil tindakan segera terhadap kenyataan berbentuk takfiri (mengkafirkan) selain fatwa-fatwa politik yang didakwanya sebagai sesat.
"Saya hendak minta supaya pihak berkuasa agama harus bertegas dalam soal fatwa yang sangat tidak wajar ini, khususnya fatwa Menteri Besar (Kedah) yang mengatakan orang Barisan Nasional yang pergi ke Mekah (untuk) melontar syaitan (ketika menunaikan ibadah haji), tetapi (apabila mereka) balik (mereka) berkawan dengan syaitan.
"Bagi saya ini satu tindakan yang amat biadab yang dilakukan oleh seorang Menteri Besar, seharusnya saya hendak minta (dia) melepaskan jawatan Menteri Besar Kedah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Ibu Pejabat Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah di Stargate, Alor Setar pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Mahfuz menyatakan, desakannya untuk Sanusi meletakkan jawatan adalah satu keperluan berdasarkan keputusan yang dibuat Ketua Pemuda Pas Sik yang membuat tindakan sama selepas mengeluarkan kenyataan berbentuk fatwa politik mengaitkan syurga dan neraka sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) sebelum ini.
Minggu lalu, menerusi satu video yang tular di aplikasi media sosial Menteri Besar Kedah mengaitkan pengundi Barisan Nasional (BN) yang menunaikan ibadah haji yang mana kemudiannya mereka pulang ke Malaysia bagi mengundi kumpulan yang didakwanya sebagai 'syaitan' di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan