"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiada unsur jenayah dalam kes sarjan maut 3 das tembakan ia tindakan bunuh diri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiada unsur jenayah ditemui dalam siasatan terperinci ke atas kematian seorang anggota polis berpangkat sarjan dengan tiga kesan tembakan di kawasan belakang Balai Polis Bayan Lepas bulan lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, laporan bedah siasat dan lawatan patologi ke tempat kejadian mendapati ia konsisten dengan dapatan pertama siasatan, iaitu ia tindakan bunuh diri.
 
“Kita dah jalankan siasatan secara terperinci dan dah tengok daripada unsur jenayah, memang tiada (kes itu), kesan bedah siasat dan juga lawatan patologi ke tempat kejadian juga konsisten dengan dapatan pertama kita bahawa ia adalah tindakan bunuh diri.

“Saya rasa kes ini tidak ada lagi spekulasi, sama ada ia ada elemen jenayah dan sebagainya…siasatan kita di situ saja dan seterusnya kami akan hantar (laporan lengkap) untuk mohon inkues,” katanya menurut Bernama.

Dalam kejadian 3.30 petang 19 Feb lalu, sepucuk pistol ditemui pada mayat mangsa berusia 51 tahun yang bertugas di balai terbabit dengan kesan tembakan pada leher, dada dan kepala.

Mengulas lanjut, Shuhaily berkata, tiada sesiapa atau anggota polis yang sedang bertugas semasa kejadian itu melihat atau nampak insiden berkenaan, namun ada dalam kalangan mereka yang mendengar bunyi tembakan itu.

Beliau berkata, anggota polis yang mendengar bunyi tembakan itu bergegas ke lokasi kejadian yang tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV), sebelum mendapati sarjan terbabit telah meninggal dunia.

“Kami panggil tiga anggota polis untuk direkodkan keterangan bagi bantu siasatan kes itu dan memang tiada elemen jenayah setakat ini.”

Beliau menyifatkan sarjan itu seorang yang mesra dan menyenangkan, manakala anggota bawahannya memuji beliau mudah bekerjasama dengan mereka.

Tiada ulasan: