Puteri Aisya Sufian
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendakwa dia menerima kritikan sesetengah ahli politik kerana meminta usahawan untuk membantu pesawah miskin.
"(Tetapi) bila (usahawan itu) membantu ratusan juta kepada parti politik, mereka (ahli politik tersebut) cium tangannya," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran MRT Aliran Putrajaya di depot MRT Serdang, hari ini.
Anwar merujuk kepada pemilik Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Syed Mokhtar Al-Bukhary, yang sebelum ini dimintanya untuk menyalurkan RM60 juta daripada keuntungan yang diraih kepada pesawah.
Menjadikan Yayasan Albukhary sebagai contoh, Anwar berkata negara memerlukan sistem perolehan yang lebih telus.
"Dia (Syed Mokhtar beri) RM200 juta masuk ke parti (politik), kita minta dia serahkan RM60 juta kepada pesawah.
"(Tetapi) mereka tak puas hati. Ada tokoh-tokoh politik yang menyerang saya (dengan mengatakan) saya ingin bertindak kepada seorang usahawan Melayu yang berjaya," dakwa pengerusi PH itu.
Anwar pertama kali membangkitkan idea agar Bernas berkongsi keuntungannya dengan pesawah padi pada Julai lalu, ketika masih menjadi ketua pembangkang.
Selepas dilantik menjadi perdana menteri, dia menegur Syed Mokhtar berkenaan monopoli Bernas dalam import beras.
Dia juga berkata Syed Mokhtar akan membuat pembayaran sebanyak RM10 juta kepada pesawah yang miskin pada Disember 2022, dan tambahan RM50 juta tahun ini.
Syed Mokhtar memiliki 92 peratus saham Bernas yang dibelinya daripada Shahidan Kassim dan ahli perniagaan Tan Boon Seng pada 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan