FMT Reporters
PETALING JAYA: Putra dijangka dirombak dan dinamakan semula sebagai Gerakan Tanah Air (GTA), gabungan diasaskan Dr Mahathir Mohamad yang sedang menuju ke arah menjadi parti politik rasmi, menurut laporan.
Mahathir dilaporkan akan mengambil alih jawatan presiden daripada Ibrahim Ali, sekutu lama bekas perdana menteri itu.
Memetik sumber parti, Utusan Malaysia melaporkan bahawa hala tuju parti akan diperincikan kepada ahli Putra pada mesyuarat agung tahunannya bulan depan.
Sumber berkata, GTA akan bekerjasama dengan parti-parti bawahnya sebelum ini, seperti Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), serta gabungan Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin Yassin.
“Baru-baru ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang ada mengadakan pertemuan tertutup bersama Mahathir selepas (Pengarah Pilihan Raya PAS) Muhammad Sanusi Md Nor turut berjumpa bekas perdana menteri itu.
“Perbincangan mereka adalah ke arah perpaduan antara GTA dan Perikatan Nasional (PN) sebagai satu permulaan kebangkitan Melayu berkuasa pada PRU16,” kata sumber.
Bagaimanapun, menurut sumber itu, GTA mungkin tidak akan bertanding pada PRN akan datang di enam negeri, sebaliknya hanya menyokong PN.
Katanya, PN yakin dapat meraih sokongan pengundi Melayu sebagai alternatif kepada kerjasama antara Umno dan DAP dalam kerajaan.
Pada masa ini, GTA yang diasaskan oleh Mahathir tahun lepas terdiri daripada parti-parti berasaskan Melayu, NGO, ahli akademik dan profesional, termasuk Putra.
Februari lepas, Mahathir meninggalkan Pejuang, yang diasaskannya pada 2020, berikutan keputusan parti itu keluar daripada GTA. Menurut Mahathir, tindakan menolak GTA sama seperti menolak dirinya.
Beliau kemudian menyertai Putra sebulan kemudian dan diberi nombor keahlian “No 1”, yang sebelum ini dipegang oleh Ibrahim sebagai presiden.
Keesokan harinya, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir mengumumkan bahawa parti itu telah memohon untuk menyertai PN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan