"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lim hantar surat tuntutan - Muhyiddin mohon maaf atau berdepan saman

Hidir Reduan Abdul Rashid

Lim Guan Eng hari ini menghantar surat tuntutan memohon permohonan maaf daripada Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan bekas menteri kewangan ketika itu telah membatalkan status pengecualian cukai untuk Yayasan Albukhary.

Peguamnya, Guok Ngek Seong mengesahkan bahawa surat tuntutan itu telah dikeluarkan bagi menuntut bekas perdana menteri itu supaya menarik balik tuduhannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.

Menurut salinan surat tuntutan yang dilihat oleh Malaysiakini, ia telah diakui dan ditandatangani sebagai diterima oleh pihak Muhyiddin.

Pada 11 Mac lalu, pengerusi DAP itu memberi tempoh kepada Presiden Bersatu sehingga hari ini untuk memohon maaf kerana mendakwa dirinya telah membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary semasa dia menjadi menteri kewangan.

ADS

Menerusi surat tuntutan yang turut dimuat naik ke akaun Facebook, Lim menuntut Muhyiddin memohon maaf berhubung tiga kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.

Kenyataan pertama dihantar ke akaun FB Muhyiddin pada 10 Mac, manakala yang kedua adalah kenyataan media yang dimuatkan di akaun media sosial yang sama pada 11 Mac, dan yang ketiga ialah kenyataannya kepada wartawan pada 12 Mac.

Lim mendakwa kenyataan itu berunsur fitnah dan antara lain membayangkan bahawa dia telah menyalahgunakan kuasanya ketika itu dengan mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan tersebut apabila pertubuhan berkenaan tidak dikenakan cukai.

Lim bukan sahaja menafikan dakwaan itu malah mendakwa ia berniat jahat dan bermotifkan politik dengan niat untuk memburukkan imejnya dengan menggambarkan dirinya, antara lain sebagai rasis dan anti-Islam.

Katanya, sejak beberapa dekad menceburi politik secara aktif, dia telah membuktikan melalui tindakan dan tingkah laku yang mempertahankan hak setiap kumpulan etnik tanpa mengira sebarang kepercayaan di Malaysia.

Selain kata dua dalam tujuh hari untuk penarikan balik dan permohonan maaf dengan syarat-syaratnya yang akan ditentukan kemudian, Lim juga memohon jaminan bahawa Muhyiddin tidak akan mengulangi dakwaan berkenaan lagi.

Lim juga mempelawa Muhyiddin untuk mencadangkan sejumlah pampasan yang akan dibayar kepadanya (tertakluk kepada persetujuan oleh Lim).

Katanya, bahawa sekiranya tiada jawapan yang memuaskan diterima dalam tempoh tujuh hari bermula dari hari ini, maka peguamnya dari firma guaman Guok Partnership akan memfailkan tindakan undang-undang di mahkamah dalam bentuk writ saman untuk mendapatkan remedi yang sewajarnya.

Malaysiakini telah menghubungi pasukan peguam Muhyiddin untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Tiada ulasan: