"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keruntuhan Bank Silicon Valley: Ini cerita sebenar yang ramai tak tahu

MALAYSIADATELINE

Bank Silicon Valley (SVB) mengejutkan dunia setelah diarahkan tutup oleh pengawal selia kewangan California.

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff mengeluarkan pendapat mengenai krisis tersebut dalam hantaran di Facebook.

Hasyudeen memaklumkan bagaimana masyarakat kewangan dikejutkan dengan penutupan SVB Bank yang beri khidmat kepada komuniti teknologi Amerika di Silicon Valley.

Di bawah adalah perkongsian mengenai keruntuhan SVB Bank dan kadar faedah Amerika.

Bank menerima deposit dari pelanggan dan menggunakan deposit berkenaan untuk memberi pembiayaan/ pinjaman kepada pihak yang layak berdasarkan aliran tunai dan pendapatan mereka. Sebahagian dari deposit berkenaan dilaburkan di dalam bon-bon khususnya yang selamat dan ada kecairan. Ini penting bagi membolehkan bon berkenaan dijual apabila bank memerlukan dana untuk membayar pengeluaran deposit. Di samping itu bank mendapat pendapatan dari faedah yang dibayar oleh penerbit bon.

SVB Bank telah melabur di dalam bon-bon Amerika termasuk yang ada cagaran hartanah. Kita semua tahu bahawa semenjak tahun lepas Rizab Persekutuan Amerika telah menaikkan kadar faedah dengan mendadak. Apakah kaitan kenaikan kadar faedah ini dengan keruntuhan SVB? Bukankah di sini apabila OPR nail riuh di media sosial bahawa bank akan bertambah kaya?

Dari segi perakaunan, bon dinilai berdasarkan kadar pulangan (yeild) di dalam bentuk faedah tetap yang dijanjikan berbanding dengan kadar faedah semasa. Apabila kadar faedah di dalam pasaran naik, nilai bon akan jatuh bagi memberikan pulangan yang sama dengan kadar faedah. Sekiranya bank menjual bon di ketika itu, nilai yang didapatinya akan jauh lebih rendah berbanding dengan harga asal.

SVB menghadapi masalah penilaian bon seperti yang dinyatakan di atas. Apabila pelanggan mengeluarkan deposit, SVB terpaksa menjual bon untuk mendapatkan tunai dan merealisasikan kerugian atas kertas disebabkan kejatuhan nilai bon berkenaan. Apabila jumlahnya besar, SVB terpaksa meningkatkan modalnya. Apabila ia mengumumkan perkara ini, pendeposot menjadi panik dan berlumba-lumba mahu mengeluarkan deposit mereka. Di dalam tempoh 48 jam, SVB menjadi muflis.

Kerajaan Amerika melalui agensi-agensinya memberi jaminan kepada pendeposit bahawa mereka akan dapat mengeluarkan deposit mereka dengan sepenuhnya. SVB akan dibiarkan bangkrup. Itu kaedah di negara seperti Amerika dan Eropah. Mereka tidak menggunakan wang pembayar cukai untuk menanggung biawak hidup. Biarlah pemegang saham menanggung kesan tindakan dan keputusan komersil mereka. Kerajaan tidak menjadi penanggung keputusan komersil yang silap.

Jaminan ke atas deposit yang diberikan itu penting kerana ianya digunakan oleh pendeposit untuk membiayai industri teknologi Amerika. Sekiranya deposit tidak dijamin, rantaian bekalan syarikat-syarikat teknologi Amerika akan terganggu. Mungkin kesannya akan dirasai sehingga ke negara kita. Naik harga lagi. Tapi, itu dah tak menjadi isu.

Isu penilaian aset kewangan ini penting bagi institusi kewangan. Tabung Haji pun pernah menghadapi situasi yang sama walaupun rosotnila asetnya disebabkan perkara-perkara lain. Yang membezakan di antara Tabung Haji dan SVB Bank ialah Tabung Haji tak ada pemegang saham, kesemua dana dimiliki oleh pendeposit. Itulah sebabnya kerajaan kena tubuhkan Urusharta Jamaah di bawah Kementerian Kewangan untuk membeli aset-aset sakit Tabung Haji pada nilai yang tinggi supaya nilai dana pendeposit terjamin. Jahat sungguh orang-orang yang menuduh Urushart Jamaah ini syarikat Cina.

Dunia kewangan ini agak kompleks. Ada juga akauntan pun yang tidak faham aspek-aspek tertentu termasuk isu-isu penilaian aset dan kaedah perakaunan. Jadi, tentulah orang-orang yang berada di luar dari bidang ini lebih tidak faham dan mudah keliru.

Semoga cerita SVB Bank ini menjadi satu cara bagi kita memahami sedikit berkenaan institusi kewangan.

Nik Hasyudeen – Bekas Ceo Tabung Haji

Tiada ulasan: