"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Radzi ‘calon simpanan utama’ MB Selangor jika Azmin tewas

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Dua bekas menteri Azmin Ali dan Radzi Jidin dilihat sebagai calon utama Perikatan Nasional untuk menteri besar Selangor, jika gabungan itu menang PRN akan datang susulan pelantikan mereka sebagai penyelaras pilihan raya.

Penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata peluang Azmin dilihat lebih cerah berbanding Radzi kerana pernah menjadi menteri besar Selangor dari 2014 hingga 2018, namun timbul kebimbangan beliau bakal berdepan satu lagi episod kekalahan seperti di Parlimen Gombak pada PRU15.

Berdepan situasi terbabit, Azmi percaya PN meletakkan Radzi sebagai “calon simpanan” sekiranya Azmin tewas, memandangkan beliau berpengalaman sebagai menteri dan kemampuannya menundukkan ahli politik veteran Umno, Tengku Adnan Mansor di Putrajaya pada PRU15.

“Jadi sekarang bergantung di mana beliau (Azmin) hendak bertanding. Kemenangannya belum terjamin, sebab itu Radzi dan Abdul Rashid Asari (ketua Bersatu Selangor) jadi simpanan sekiranya Azmin tewas.

“Kalau dibaca ucapan Muhyiddin Yassin memang yakin Bersatu menawan Selangor,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas pelantikan Azmin, Radzi, dan Rashid sebagai penyelaras Bersatu di Selangor menjelang PRN akan datang. Pada Ahad, Muhyiddin berkata pemimpin daripada Bersatu akan dipilih sebagai menteri besar Selangor dan Negeri Sembilan jika PN menawan negeri berkenaan.

Bagaimanapun, Azmi berpendapat kes mahkamah yang sedang dihadapi pemimpin Bersatu akan menyukarkan angan-angan Muhyiddin merampas dua negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) itu, walaupun PN membuat kejutan pada PRU15.

“Mengambil kira gelombang hijau semasa PRU15, ia tidak berlaku di negeri Barat Semenanjung, termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ditambah pula dengan isu Jana Wibawa, agak sukar untuk Bersatu dan PN menawan dua negeri ini,” katanya.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia senada dengan Azmi bahawa Bersatu meletakkan Azmin sebagai calon menteri besar, namun perlu mempertimbangkan kawasan selamat untuk beliau.

“Muhyiddin boleh memindahkan Azmin ke kerusi boleh menang jika merasakan Bukit Antarabangsa (kawasan disandang Azmin) bermasalah berdasarkan keputusan PRU15.

“Saingan dijangka sengit di Selangor, perlu ada rancangan B dan C jika rancangan utama tidak menjadi contohnya calon utama menteri besar kalah,” katanya.


DUN Bukit Antarabangsa yang disandang Azmin terletak dalam Parlimen Ampang. Pada PRU lalu, calon PH Rodziah Ismail menewaskan Zuraida Kamaruddin dan lapan pencabar lain, dengan 56,754 undi dan majoriti 29,681.

Tiada ulasan: