"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Semua penumpang kapal selam Titan mati serta-merta

Utusan

BOSTON: Insiden ‘letupan kuat’ yang menyebabkan kapal selam Titan musnah boleh berlaku dengan daya dan kelajuan luar biasa akibat tekanan air di dasar laut.

Letupan yang disebabkan oleh kerosakan pada bahagian badan kapal selam atau faktor lain boleh menyebabkan kapal itu hancur dalam masa beberapa saat sebaik sahaja tekanan air menjadi semakin kuat.

Dalam keadaan itu, semua penumpang yang berada dalam kapal selam itu akan mati serta-merta.

Titan yang dibangunkan oleh OceanGate Inc of Everett di Washington direka mampu bertahan dengan tekanan air kuat, termasuk pada kedalaman bangkai kapal Titanic ditemukan, iaitu 3,800 meter di dasar lautan.

Kapal selam itu juga sebelum ini ‘berjaya pergi dan kembali’ dalam ekspedisi menyelusuri bangkai kapal berkenaan.

Namun, kebimbangan keselamatan kapal selam itu pernah dibangkitkan, terutamanya dalam tuntutan mahkamah yang melibatkan bekas pengarah operasi marin OceanGate, David Lochridge yang dipecat pada 2018.

Beliau dipecat selepas memberi amaran mengenai keadaan badan gentian karbon Titan yang dikatakan ‘tidak selamat’.

Seorang pakar kejuruteraan di Imperial College London, Roderick Smith berkata, kemalangan itu mungkin berlaku disebabkan oleh kegagalan kapal selam berkenaan menahan tekanan air yang kuat.

Smith menegaskan, bagi menentukan punca sebenar insiden itu, lebih banyak serpihan kapal selam itu perlu ditemukan untuk membolehkan siasatan penuh dilakukan.

Katanya, perkara itu mungkin sukar dilakukan, namun pasukan penyiasat boleh cuba melakukannya.

“Letupan kuat yang berlaku pada Titan mungkin menyukarkan untuk pasukan penyiasat menyusun kronologi kejadian, dari mula kapal selam itu bermasalah sehinggalah ia meletup yang mengorbankan kesemua penumpangnya,” katanya.

RISIKO SAMAN

Sebelum turun ke dasar lautan untuk menyertai ekspedisi melihat bangkai kapal Titanic, kelima-lima penumpang itu sudah pun menandatangani persetujuan untuk menanggung sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Namun, keluarga mangsa masih boleh menyaman pemilik OceanGate.

Kapal selam Titan dilaporkan hilang dari radar ketika melakukan selaman selama dua jam sebelum akhirnya disahkan meletup dan mengorbankan semua penumpangnya berdasarkan serpihan badan kapal yang ditemukan.

Kelima-lima penumpang berkenaan membayar sebanyak AS$250,000 (RM1.17 juta) setiap seorang untuk menyertai ekspedisi tersebut.

Menurut seorang wartawan CBS yang pernah mengikuti ekspedisi bersma OceanGate pada Julai tahun lalu memberitahu, dia perlu menandatangani persetujuan untuk menghadapi sebarang risiko, termasuk kemungkinan maut dalam dokumen yang disediakan.

Sehingga kini, OceanGate enggan memberi reaksi berhubung perkara berkenaan.

Pengecualian liabiliti tidak selalunya ‘kukuh’ dan hakimboleh menolaknya jika terdapat bukti kecuaian atau bahaya besar yang tidak didedahkan sebelum ini.

“Sekiranya terdapat aspek reka bentuk atau pembinaan kapal selam yang dirahsiakan daripada penumpang atau sememangnya sudah diketahui tidak sesuai untuk beroperasi, perlara itu boleh menyebabkan pengecualian liabiliti yang ditandatangani tidak berfungsi,” kata peguam dan pakar undang-undang maritim, Matthew D Shaffer.

Tahap kecuaian yang boleh memberi kesan terhadap pengecualian liabiliti bergentung kepada punca kemalangan yang ketika ini masih dalam siasatan.

TANGISI KEHILANGAN

Seorang bapa dan anak merupakan lima daripada penumpang yang terkorban dalam insiden kapal selam meletup.

Shahzada Dawood, 48, dan anak lelakinya, Sulema, 19, merupakan keluarga kaya yang mewarisi empayar perniagaan Dawood di Pakistan.

“Amat menyedihkan selepas kami dimaklumkan Shahzada dan anaknya terkorban dalam ekspedisi itu.

“Kami ingin mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang terlibat dalam kehilangan ini,” menurut kenyataan Yayasan Dawood.

Dalam pada itu, keluarga ahli perniagaan Britain, Hamish Harding yang turut terkorban dalam kapal selam itu juga menzahirkan kesedihan.

“Beliau merupakan seorang yang amat baik dan kami semua menyayanginya,” jelas kenyataan dari keluarganya. – AGENSI

Tiada ulasan: