"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ekonomi rakyat merosot, lembu korban banyak tak laku

JAMLIAH ABDULLAH
ZAINOL ABIDIN melihat lembu ternakan yang dipelihara untuk ibadah korban di Jalan Sintok, Jitra semalam.
JITRA – Penternak lembu di daerah ini mendakwa, tempahan haiwan ternakan itu bagi ibadah korban pada tahun ini menurun sebanyak 20 peratus berbanding tahun lepas.

Seorang penternak yang juga Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm Sdn. Bhd., Zainol Abidin Mohamad, 65, berkata, setakat ini, pihaknya hanya berjaya menjual 110 daripada 300 lembu yang disediakan bagi ibadah itu.

“Berbanding tahun lepas, kita berjaya jual 200 lembu, mungkin situasi ini disebabkan faktor ekonomi semasa,” katanya di ladang ternakannya di Jalan Sintok, dekat sini semalam.

Menurutnya, pihaknya masih mengekalkan harga lembu antara RM5,400 hingga RM6,000 seekor mengikut saiz di sebalik kenaikan harga dedak.

“Kalau nak kurangkan lagi harga lembu, agak susah sebab kita terpaksa tanggung kos makanan lembu yang agak tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya masih membuka tempahan lembu korban sama ada secara hidup atau tompok sehingga 28 Jun ini.

“Kita juga menyediakan servis penyembelihan kepada pelanggan yang berhasrat memudahkan urusan ibadah korban mereka.

“Pelanggan boleh datang ambil daging sahaja, semua pro­ses menyembelih dan melapah diuruskan pihak ladang,” kata­nya.

Sementara itu, seorang penternak dari Pokok Sena, dekat sini, Ramli Abu Bakar, 52, berkata, sambutan untuk lembu korban pada tahun ini agak kurang memberangsangkan.

“Agak lembab, saya menyediakan 90 ekor lembu berbanding 100 ekor pada tahun sebelum ini.

“Sekarang saya hanya me­nerima tempahan sebanyak 50 ekor lembu dan berharap sebelum 28 Jun ini, semua habis ditempah.

“Hal ini berlaku mungkin ke­rana sekarang ba­nyak persai­ngan memandangkan ramai penternak menyediakan lembu korban, selain banyak orang masih terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya yang sudah 14 tahun menjadi penternak.

Ujarnya, kenaikan harga makanan ternakan terutama dedak ketika ini turut mempengaruhi harga haiwan antara RM4,000 hingga RM5,300 seekor.

Tiada ulasan: