Agensi
Jakarta: Polis Malang, Jawa Timur, baru-baru ini, menahan dalang kes pemerdagangan bayi baru lahir melalui Facebook (FB).
Portal Kompas melaporkan, kes itu terbongkar selepas seorang individu melihat kumpulan FB bernama 'ambil anak angkat bayi baru lahir' pada 3 September lalu.
Seorang individu kemudian cuba menghubungi penjual di kumpulan WhatsApp bernama 'Adopter dan Bumil Amanah' selepas melihat satu pautan komen di hantaran FB.
Dia kemudian berpura-pura mahu membeli bayi, namun pada masa sama sudah melaporkan perkara itu kepada polis.
Tidak lama selepas itu, 'si pembeli' menerima mesej daripada pengendali kumpulan yang menawarkan beberapa bayi.
Menurut Pegawai Siasatan Jenayah Malang, Danang Yudanto, setiap bayi dijual pada harga antara 8 juta rupiah (kira-kira RM2,440) sehingga 18 juta rupiah (kira-kira RM5,490).
Selain meletakkan harga, pengendali kumpulan juga memberitahu bayi yang 'dipesan' boleh dihantar ke Malang.
Pengendali kumpulan di FB kemudian menghantar nombor telefon 'kurier bayi' iaitu individu bernama Eyis.
Bayi itu adalah anak kepada satu pasangan kekasih yang masing-masing berusia 21 dan 19 tahun.
Ketika mengambil bayi itu, Eyis menyerahkan wang sebanyak 6.6 juta rupiah (kira-kira RM2,013) kepada pasangan berkenaan.
"Selepas itu, dia mengambil bayi itu dan membawanya ke Sukoharjo dan kemudian memberikan wang 6.5 juta rupiah (kira-kira RM1,983) kepada ibu bapa bayi itu," katanya.
Bayi berumur tiga hari yang beratnya 2.25 kilogram (kg) dan tinggi 42 sentimeter itu kemudian dibawa Eyis ke Malang.
Susulan kejadian, pihak berkuasa menahan tiga suspek termasuk ibu bapa kepada bayi itu.
Kes itu kini dalam siasatan pihak berkuasa.
- hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan