FMT Reporters
PETALING JAYA: Polis akan memanggil penyanyi rap Caprice dan wanita Indonesia dikenali sebagai Mondy Tattoo bagi membantu siasatan susulan laporan dibuat pendakwah Ebit Lew.
Timbalan Ketua Polis Selangor, S Sasikala Devi, berkata pihaknya menerima arahan lanjut hari ini bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Setakat ini, katanya, polis hanya menerima satu laporan dibuat Ebit di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, semalam.
“Kita sudah merakam keterangan Ebit Lew dan turut akan merekodkan keterangan daripada Caprice dan wanita Indonesia itu dalam tempoh terdekat.
“Proses itu adalah prosedur bagi melengkapkan siasatan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya,” katanya menurut Harian Metro di IPK Selangor.
Semalam, Ebit dilaporkan berkata dakwaan dalam sebuah episod audio siar kendalian seorang selebriti tempatan baru-baru ini adalah “fitnah-fitnah yang teramat melampau dan langsung tidak berasas” ke atas dirinya.
Laporan itu dipercayai dibuat selepas tular rakaman wawancara seorang wanita dari negara jiran pernah mendapat bantuannya, yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah ketika pertama kali tiba di Malaysia tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan