Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
NEROSHA memeluk Islam di Ibu Pejabat Perkim semalam. FOTO Perkim
Kuala Lumpur: Tertarik dengan amalan yang dilakukan rakan Muslim lain mendorong atlet boling wanita negara Nerosha Keligit Thiagarajan terbuka hati untuk memeluk Islam semalam.
Atlet berusia 27 tahun itu melafazkan dua kalimah syahadah di Bilik Hidayah, Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan, petang semalam.
Perkara itu disahkan menerusi Facebook Perkim yang memaklumkan Nerosha memeluk Islam di hadapan Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) Perkim Kebangsaan Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
NEROSHA raih perak acara berpasukan di Sukan Sea 2021 di Hanoi.
Nerosha berasal dari Sarawak berkata, dia tertarik juga dengan Islam kerana kehidupannya sebagai seorang atlet dikelilingi dengan rakan-rakan Muslim yang taat mengerjakan ibadah.
Katanya, dia sering bertanyakan kepada rakan-rakan Muslimnya kewajipan bersolat, berpuasa dan ibadah lain.
"Saya mempercayai dan meyakini dengan keesaan Allah SWT," katanya.
Mengikut rekod, Nerosha antara atlet yang menyinar dalam sukan boling apabila mengharumkan nama Malaysia dengan meraih emas Kejohanan Dunia pada edisi 2017 di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Selain itu, dia juga memenangi perak pada temasya Sukan Sea 2021 di Hanoi selepas menduduki tempat kedua dalam acara berpasukan wanita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan