"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Rupanya ketua gengster kumpulan bersenjata parang itu seorang wanita...'

Muhamad Lokman Khairi
bhnews@bh.com.my
 Ahmad Adnan (kiri) menunjukkan gambar tangan kanan mangsa warga emas yang cedera ditetak geng  samun diketuai seorang wanita di Taman Indah Jaya, hari ini. NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Ahmad Adnan (kiri) menunjukkan gambar tangan kanan mangsa warga emas yang cedera ditetak geng samun diketuai seorang wanita di Taman Indah Jaya, hari ini. NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
TELUK INTAN: Polis berjaya menumpaskan satu geng samun bersenjata parang yang menetak mangsa hingga cedera, didalangi seorang wanita bujang berusia 30 tahun.

Semua sembilan suspek terbabit kejadian samun barang kemas dan kereta milik seorang lelaki warga emas di Taman Indah Jaya, di sini, itu turut dianggotai pasangan suami isteri dan adik-beradik.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata semua tujuh suspek lelaki dan dua suspek wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun itu ditahan dalam lima serbuan berasingan di sekitar Teluk Intan, Selangor dan Kuala Lumpur antara 29 November hingga 3 Disember lalu.

Beliau berkata, hasil siasatan polis mendapati, kejadian samun itu didalangi seorang wanita bujang berusia 30 tahun yang ditahan di Jalan Changkat Jong, di sini, mengakui menjadi penyalur maklumat mengenai mangsa lelaki warga emas yang tinggal berseorangan.

"Hasil soal siasat terhadap wanita itu membawa kepada penahanan lapan lagi individu dengan semua mereka didapati positif dadah jenis methaphitamine dan mempunyai satu hingga 16 rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

"Turut dijumpai, semua barang kes iaitu dua bilah parang, sebuah kereta Perodua Axia, dua rantai emas berserta loket, sebentuk cincin, sepasang subang, seketul emas yang dileburkan dan resit pajak gadai.

"Nilai kerugian mangsa sebanyak RM60,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, di sini, hari ini.

Ahmad Adnan berkata, semua suspek kini direman sehingga esok untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 394/379A Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan melarikan kenderaan.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

"Polis percaya kumpulan samun ini baru saja aktif. Kes dianggap selesai dengan penahanan semua suspek dan penemuan semua barang kes," katanya.

Dalam kejadian jam 3 petang, 22 November lalu, seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun yang juga bekas pengawal keselamatan cedera di bahagian jari telunjuk tangan kanan akibat ditetak dan menerima lima jahitan di Hospital Teluk Intan.

Mangsa yang tinggal berseorangan selepas kematian isteri terpedaya dengan suspek menyamar sebagai tukang rumah sebelum membuat pintu pagar.

Tiada ulasan: