"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peniaga wanita hanya jual minyak masak kepada warga asing

BERNAMA

Ipoh: Padah hanya menjual minyak masak paket bersubsidi kepada warga asing, seorang peniaga wanita tempatan berdepan tindakan apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu kedai runcitnya di Desa Chepor Indah dekat Chemor di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada kira-kira 12 tengah hari itu adalah hasil aduan orang ramai mengenai peniaga berusia 37 tahun itu yang enggan menjual minyak masak paket kepada warga tempatan sebaliknya hanya menjual kepada warga asing.

"Satu tindakan penyamaran melalui Ops Samar dilakukan oleh pegawai penguat kuasa KPDN. Pegawai yang menyamar sebagai pembeli warga tempatan telah melakukan uji beli minyak masak paket tetapi peniaga tersebut memaklumkan bahawa minyak masak sudah habis dijual.

"Curiga dengan dakwaan peniaga tersebut, sepasukan penguat kuasa KPDN Perak telah bertindak melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas kedai runcit tersebut. Hasil pemeriksaan tersebut telah berjaya menemui lima kotak minyak masak paket 1kg (kilogram) yang diletakkan di tepi kaunter dan di bahagian belakang premis," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kamalludin hasil pemantauan ke atas premis juga mendapati kedai runcit yang beroperasi bermula 8 pagi hingga 9 malam itu sering dikunjungi warga asing.

Sehubungan itu, Kamalludin berkata pihaknya menyita 90 paket minyak minyak masak 1kg bernilai anggaran RM225.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16A(1)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyorok barang kawalan yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: