"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lapan tahun hilang, Siti Mariah akan pulang

JAMLIAH ABDULLAH
Siti Mariah yang hilang sejak lapan tahun lalu.
KUALA NERANG – Tiada yang menggembirakan bagi sepasang suami isteri dari Kampung Sireh, Naka di sini apabila mendapat khabar anak yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu akhirnya akan pulang ke pangkuan mereka.

Hamzah Said, 65, dan isterinya, Che Safuan Abd Rahman, 61, menerima khabar gembira tentang anak sulung mereka itu, Siti Mariah, 39, daripada Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar semalam.

Menurut Hamzah, mereka dimaklumkan bahawa Siti Mariah kini berada di Labu, Negeri Sembilan dan dalam keadaan sihat.

“Tiada perasaan yang dapat kami gambarkan melainkan gembira kerana akhirnya anak yang kami rindui ditemui semula. Kami sempat membuat panggilan video juga semalam, Allah sahaja yang tahu, setelah begitu lama kami bersua muka juga.

“Isteri paling sedih dan sayu sehingga mengalirkan air mata semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bercerita lanjut kata Hamzah, Siti Mariah dijangka pulang ke rumah pada Sabtu ini.

“Kami semua paling tidak sabar untuk menyambutnya nanti. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak termasuk polis yang bertindak pantas mengesan anak saya dan media yang menyiarkan  berita ini.

“Hanya Tuhan dapat membalas jasa mereka semua,” ujarnya.

Mulkiaman memeluk Hamzah bagi ketika memaklumkan tentang penemuan Siti Mariah di Kampung Sireh, Naka pada semalam.
Dalam pada itu, Mulkiaman berkata, pihaknya berbesar hati mengunjungi keluarga tersebut semalam untuk memaklumkan berita gembira tersebut.

“Dengan bantuan Ketua Balai Polis Labu, Negeri Sembilan kita berjaya mengesan Siti Mariah yang menetap di sana. Saya sendiri menyampaikan berita gembira ini semalam dan diharapkan terungkai kerinduan keluarga itu kepada anak mereka,” katanya.

Kosmo! pada 21 November lalu melaporkan tentang rayuan seorang ibu kepada anak sulungnya supaya segera pulang selepas lapan tahun menghilangkan diri tanpa berita.

Che Safuan Abd. Rahman, 61, berkata, anak sulungnya, Siti Mariah hilang selepas bekerja di sebuah bank secara kontrak di ibu negara.

Katanya, Siti Mariah merupakan graduan Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang kaunseling. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: