"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Laporan polis terhadap kenyataan hubungan Malaysia-Israel

Safeek Affendy Razali
safeek@bh.com.my
Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar (dua dari kiri) dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali selepas membuat laporan polis terhadap akaun Victor Yong Jen Ong yang mempromosikan hubungan diplomatik antara Israel dan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini - Foto NSTP/SADIQ SANI
Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar (dua dari kiri) dan peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali selepas membuat laporan polis terhadap akaun Victor Yong Jen Ong yang mempromosikan hubungan diplomatik antara Israel dan Malaysia di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, hari ini - Foto NSTP/SADIQ SANI
KUALA LUMPUR: Satu laporan polis dibuat bagi menuntut siasatan dijalankan terhadap seorang individu dipercayai rakyat Malaysia, yang memberikan gambaran salah mengenai sokongan Malaysia terhadap Palestin.

Malah lelaki dikenali sebagai 'Victor Yong Jen Ong' dalam media sosial, juga turut mendakwa perlunya ada hubungan diplomatik antara Malaysia dan kerajaan rejim Zionis Israel.

Pengadu, Syed Muhammad Shafiq Syed Jaafar berkata laporan polis dibuat selepas beliau mengesan video temubual antara pempengaruh popular Israel, Hananya Naftali, dalam laman media sosial X.

"Dalam temubual itu, Victor yang mengakui berasal dari Johor Bahru, menyatakan bahawa rakyat Malaysia kononnya mempunyai pandangan yang silap tentang Israel dan elemen kebencian ini dibawa oleh kumpulan pejuang Fatah dan Hamas yang disalurkan kepada rakyat Malaysia.

"Malah Victor juga menyatakan perlunya ada normalisasi hubungan antara Malaysia dan Israel di mana kedutaan Israel harus diwujudkan di negara ini (Malaysia) dan kerajaan Malaysia juga harus mempunyai kedutaan di Israel.

"Tindakan Victor ini sedikit sebanyak adalah berkaitan dengan sensitiviti agama dan bangsa di negara kita dan ia tidak boleh dipandang ringan," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Syed Muhammad turut mendesak supaya pihak polis menjalankan siasatan selain meminta tindakan terhadap Victor diambil kerana boleh mengganggu-gugat keharmonian agama dan kaum di negara ini.

Sementara itu peguam, Rafique Rashid berkata, laporan polis yang dibuat itu adalah suara kerisauan rakyat Malaysia.

"Kita sedia maklum Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara haram Israel dan kini melalui video temubual itu ada usaha untuk menormalisasi hubungan Malaysia dan rejim Zionis, itu yang menjadi kerisauan.

"Kita benar-benar hendak pastikan isu ini diambil serius bukan hanya oleh pihak polis tetapi paling penting adalah kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi kerajaan berkaitan.

Video berdurasi 5.33 saat yang disiarkan dalam akuan rasmi laman X milik Hananya setakat ini masih boleh ditonton dan masih belum dipadamkan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.

Tiada ulasan: