Wai Tee
Tahniah kepada kerajaan perpaduan kerana memiliki iltizam politik (political will) dalam membuat beberapa perubahan yang signifikan. Harga Ayam dikawal sejak 1 November 2021 dan berakhir pada 31 Oktober 2023. Genap dua tahun.
Sejak pelaksanaan kawalan harga terhadap ayam, kerajaan membelanjakan subsidi sebanyak RM3.8 bilion keseluruhan sehingga Februari 2023. Kerajaan rasanya okay terhadap subsidi tetapi bila terdapat ketirisan dan turut dinikmati oleh golongan yang tidak layak (misal warganegara asing) maka objektif subsidi itu tersasar dan merugikan negara.
Kini pengapungan harga ayam berjalan selama sebulan. Banyak telahan tentang harga ayam meleset. Dua kerajaan sebelum ini tidak mempunyai iltizam politik selain mengambil langkah populis menggunakan subsidi dan mengawal harga. Begitu juga dengan barangan keperluan lain seperti RON95, Diesel Bersubsidi, dan LPG Domestik; Telur Gred A, B, dan C; Minyak Masak Bersubsidi; dan Beras Tempatan. Gula dan Minyak Masak Kemasan Botol masih dalam harga kawalan tetapi tiada subsidi untuk kedua barangan ini.
Jumlah perbelanjaan subsidi kepenggunaan pada 2022 adalah RM66.3 bilion merangkumi subsidi bahan bakar seperti RON95, diesel dan LPG, skim subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik dan harga ayam serta telur yang merupakan perbelanjaan terbesar.
Pada tahun ini, subsidi dalam negara berjumlah RM58.6 bilion, seperti yang disemak semula dalam Belanjawan 2023. Walaupun subsidi untuk 2023 menyaksika pengurangan 13.1% daripada RM67.4 bilion yang diperuntukkan pada 2022, tetapi ia masih jauh lebih tinggi daripada tahap pra-pandemik.
Seharusnya kejayaan memberhentikan subsidi ayam dan pengurangan RM3.8 bilion dari perbelanjaan subsidi mendorong kerajaan perpaduan untuk melihat semula polisi atau dasar lain yang tidak progresif dan merugikan negara serta tidak sampai ke golongan yang disasarkan.
Walaupun demikian, iltizam politik yang dimiliki oleh kerajaan perpaduan harus disinergikan dengan data yang tepat, mekanisme yang kedap agar benar-benar sampai kepada golongan sasar, dapat mengatasi ketirisan, dan tidak memangsakan rakyat yang turut membayar cukai.
Ini serupa dengan rombakan Kabinet yang akan diumumkan pada bulan Disember 2023. Ianya dibuat berhati-hati bertujuan untuk memantapkan lagi jentera kerajaan, dan merehatkan menteri dan timbalan menteri yang kurang efektif. Begitulah juga kerajaan harus melihat semula polisi-polisi lapuk yang mana ada yang dilaksanakan sejak zaman kemerdekaan bagi melihat semula relevannya di masa ini .
Ini amat mendesak sekali agar ianya selari dengan pertumbuhan pembangunan mampan dan pelbagai lagi dasar dan halatuju Malaysia Madani seperti Dasar Ekonomi Madani, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan beberapa lagi halatuju yang berkaitan.
Setahun berlalu. Tiada masa berbulan madu walaupun dalam tahun pertama pemerintahan seperti yang dicontohi oleh perdana menteri. Yang salah diperbetulkan, yang perlahan dipercepatkan, yang kurang berkesan ditingkatkan keupayaan, dan yang tidak berfungsi digantikan. Tahun kedua dan seterusnya sehingga akhir penggal lima tahun adalah jangka masa penting untuk rakyat melihat hasil yang ketara. Bukan hanya teori dan formula semata.
Kerajaan perlu melihat banyak lagi berkenaan harga kawalan, sama ada yang dengan subsidi apatah lagi yang tidak disubsidi. Gula salah satu yang sangat genting sekarang. Amat bertepatan perdana menteri mempelopori usaha mengurangkan penggunaan gula. Tetapi malangnya gagasan itu tidak menjadi kempen yang berkesan dalam masyarakat.
Harga gula pasir putih yang dikawal harga oleh kerajaan adalah terlalu murah jika dibandingkan dengan negara-negara dunia waima negara pengeluar gula mentah. Murahnya harga runcit terbukti tidak membantu kempen mengurangkan penggunaan gula negara. Apatah lagi gula mentah diimport 100%. Justeru harga kawalan gula harus dilihat semula atau diapungkan seperti harga ayam.
Harga kawalan minyak masak paket bersubsidi juga harus dilihat semula kerana ianya tidak progresif dan menggalakkan ketirisan. Harga minyak masak paket yang lebih murah dari harga minyak masak terpakai turut meningkatkan penggunaan untuk dijual sebagai minyak masak terpakai. Julat harga antara minyak masak paket dengan harga minyak masak kemasan botol 1kg menyebabkan pengguna M40 dan ada juga T20 beralih dari botol kepada minyak masak paket bersubsidi.
Kemungkinan masalah bekalan minyak masak ini dapat diatasi bila kerajaan melaksanakan sistem harga dua peringkat minyak masak (two-tiered pricing system); satu harga untuk penggunaan domestik dan satu harga lagi untuk eksport yang mendasarkan kepada harga minyak masak mentah di pasaran dunia (CPO). Penggunaan minyak masak dalam negara hanyalah 7% dari keseluruhan pengeluaran CPO negara dan tentunya tidak mendatangakan masalah kepada pengeluar CPO Malaysia.
Cabaran besar menanti bila kerajaan melaksanakan subsidi bersasar RON95 dan Diesel bermula Jun 2024. Polisi ini pastinya tidak popular yang boleh menggugat kerajaan perpaduan.
Petrol dan Diesel merupakan pemboleh (enabler) kepada industri samada industri tenaga, pengeluaran mahupun penjualan. Jika pemboleh ini naik, ditakuti ia memberi impak kepada keseluruhan harga pengeluaran, pengangkutan dan penjualan. Kita yakin kerajaan akan memikirkan secara holistik sebelum pelaksanaannya.
Kerajaan juga harus melihat semula polisi AP (Approved Permit) atau Permit Kelulusan yang didakwa menjadi alat politik dan meningkatkan kos keseluruhan terutama yang melibatkan input barang mentah.
Di samping itu polisi yang bersifat monopoli, duopoli mahupun yang menggalakkan kartel juga harus dilihat dan dinilai semula apakah ianya mendatangkan kebaikan kepada iklim perniagaan dan kepenggunaan di Malaysia. Kes kekurangan beras tempatan dan lonjakan harga beras import sepatutnya memberikan pengajaran yang berguna kepada kerajaan dalam menguruskan polisi keselamatan makanan negara.
Mekanisme pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) juga harus dilihat semula. Janganlah sampai ianya seolah-olah hak bagi penerima. Bila penerima mengambil STR sebagai hak mereka, maka pembasmian kemiskinan akan menjadi sulit dan ada di antara mereka mahu terus kekal dalam kategori miskin kerana selesa dengan ‘tongkat’ yang diterima.
STR itu harus dijelaskan untuk apa ianya diberi. Mungkin STR merupakan alokasi bulanan untuk menampung pembelian RON95, Gula, LPG, Beras dan Minyak Masak bila harga barangan tersebut diapungkan. Terpulanglah bagaimana mereka membelanjakan STR itu. Ilmu literasi kewangan akan mendorong penerima menjadi amanah dan tanggungjawab dalam membelanjakan bantuan wang rakyat yang diterima.
Yang pasti, rakyat sedang berdebar menanti rombakan Kabinet dan rombakan polisi itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan