"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr. Muhamad Akmal Saleh: Bangladesh datang Malaysia pun boleh cakap bahasa Melayu

KOSMO!

PETALING JAYA – Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh memuji tindakan berani pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menghalang individu tidak mampu berbahasa Melayu membuat pasport.

Menurut beliau, tindakan itu menyedarkan realiti yang berlaku di Malaysia walaupun tiada peruntukan undang-undang mewajibkan warganegara perlu bertutur dalam bahasa Melayu sebagai syarat untuk membuat pasport.

“Tindakan pegawai imigresen itu perlu dipuji tambahan pula dengan kebanjiran warga asing ke negara kita semakin bertambah. Mereka perlu memastikan kesahihan hanya warganegara sahaja yang benar-benar layak untuk membuat pasport.

“Jika warga Bangladesh yang datang ke Malaysia boleh bertutur bahasa Melayu, apa ertinya kita yang mengaku warganegara tetapi masih tidak mampu bertutur bahasa Melayu,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh baru-baru ini menegaskan, pegawai JIM tidak dibenarkan untuk menolak sebarang permohonan pasport hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan.

Beberapa portal sebelum ini melaporkan kekecewaan seorang lelaki tidak dapat memperbaharui pasport ibunya kerana tidak boleh berbahasa Melayu di UTC Pulau Pinang

Walau sudah menerangkan bahawa ibunya hanya mampu berbahasa Melayu dengan terhad susulan tidak bersekolah, kakitangan UTC Komtar tetap tidak menerima alasan tersebut.

Lelaki terbabit bagaimanapun berjaya memperbaharui pasport dan mengambilnya di Pejabat UTC Pulau Pinang pada 22 April lalu.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal berkata, Pemuda UMNO menggesa kerajaan mahupun pembangkang membawa usul ke persidangan Parlimen untuk mengubal undang-undang iaitu antara syarat wajib untuk diiktiraf sebagai warga Malaysia wajib bertutur dalam bahasa Melayu. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: