Harian Metro
am@hmetro.com.my
CEBISAN MH17.
Kuala Lumpur: Genap 10 tahun lalu, penulis bersama bekas wartawan akhbar Berita Harian, Allahyarham Hardi Effendi Yaacob dan jurugambar, Khairul Mazzaman Ghazali melalui detik cemas apabila diacu senjata AK47 ketika ditahan anggota Kumpulan Pemisah Donestk (DSG) sewaktu mahu memasuki bandar Donestk di timur Ukraine bagi membuat liputan tragedi MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai.
Pada saat itu, hanya terbayang sesuatu yang buruk bakal berlaku kerana sebaik ditahan dalam sekatan jalan raya, kami diarah mengikut kenderaan mereka ke satu bangunan dipercayai markas pemisah untuk disoal siasat atas kesalahan melanggar perintah berkurung susulan peperangan antara tentera pemisah dan tentera Ukraine.
Sepanjang ditahan dalam kereta yang disewa dan dipandu warga tempatan, kami diawasi sekumpulan anggota lengkap bersenjata. Kami tidak dibenar keluar dari kereta sebelum datang seorang lelaki dipercayai pegawai atasan mereka yang fasih berbahasa Inggeris untuk menyoal kami.
Pasport kami dirampas lelaki terbabit untuk diperiksa sebelum dia bertanyakan tujuan kedatangan ke kawasan itu. Kami memaklumkan ditugaskan membuat liputan mengenai pesawat MH17 kerana pesawat itu adalah milik negara kami.
Sebaik bertanya soalan lain dan berpuas hati dengan penjelasan diberikan, lelaki itu kemudian menyerahkan semula pasport.
Pada masa sama, dia sempat bertanya pandangan kami mengenai perjuangan dan ketokohan pemimpin mereka iaitu Alexander Borodai.
Kami hanya tunjuk tanda 'bagus' sebagai taktik agar segera dibenarkan meninggalkan markas itu.
Dalam 45 minit juga kami disoal sebelum dibenar meneruskan perjalanan ke bandar Donestk. Kebetulan pula, ketika itu masa berbuka puasa, jadi kami mengambil air botol dibawa lebih awal untuk berbuka. Ketika tragedi MH17, semua umat Islam sedang berpuasa.
Kedatangan kami ke Donestk iaitu sehari selepas semua 282 mayat mangsa iaitu 43 rakyat Malaysia, 193 rakyat Belanda dan 27 rakyat Australia dibawa keluar dari lokasi nahas di kawasan perkampungan di Grabovo, berhampiran Donestk sebelum diterbangkan ke Belanda.
ENJIN pesawat MH17 yang ditemui di lokasi kejadian.
Sebelum itu, kami berada di Kiev bersama pasukan pencari dan penyelamat dari Malaysia sebelum mengambil inisiatif sendiri mencari warga tempatan yang sanggup membawa kami ke Donestk sejauh 750 kilometer dan mengambil masa 12 jam perjalanan. Kami dinasihatkan agar tidak ke lokasi nahas atas faktor keselamatan kerana kawasan itu dikuasai tentera pemisah yang pro Rusia.
Sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan permandangan memukau termasuk hamparan ribuan hektar ladang bunga matahari yang kemudian diproses bagi menghasilkan minyak bunga matahari dan ladang gandum.
Untuk memasuki lokasi nahas atau ground zero, kami perlu permit dan surat kebenaran khas kerana dokumen itu mesti ditunjukkan kepada tentera DSG jika melalui beberapa sekatan jalan raya yang dikawal ketat.
Jika gagal, kami tidak dibenarkan masuk ke lokasi itu dan diarah berpatah balik.
Sebaik mendapat permit itu atas dasar wartawan Malaysia, kami memulakan perjalanan ke lokasi nahas yang mengambil masa dua jam pergi dan balik. Tiba di lokasi, tiada perkataan mampu diungkapkan, selain perasaan sayu dan sedih. Sukar dipercayai, pesawat penerbangan Malaysia (MAS) yang berlogo wau bulan berkecai dan terbakar hingga mengorbankan semua 15 kru adan 283 penumpang.
Kelihatan serpihan pesawat dan barangan milik mereka turut bertaburan di sekitar lingkungan 20 kilometer persegi.
Tidak dapat dibayangkan bagaimana semua mangsa menghadapi sakaratul maut pada ketinggian 10 kilometer di udara sebaik pesawat berkecai ditembak peluru berpandu.
Ketika berada di lokasi, kami turut meninjau kawasan sekitar bagi mendapat gambaran dan menemubual penduduk atau saksi kejadian.
Keadaan cuaca yang dingin dan sedang berpuasa membataskan pergerakan menyebabkan kami mengambil keputusan pulang ke Donestk sebelum cuaca gelap dan datang semula keesokan harinya.
SERPIHAN pesawat MH17 yang ditembak jatuh.
Selama seminggu kami berulang-alik ke lokasi nahas bagi mencari berita dan makanan berbuka kami hanyalah sosej yang dimasak rakan pemandu kami dari Armenia yang beragama Islam. Tiada nasi, hanya sosej dan roti keras menjadi juadah bersahur dan berbuka.
Walaupun kejadian itu sudah sedekad berlaku tetapi tugasan berkenaan yang paling mencabar sebagai wartawan jenayah. Penulis juga ada membuat liputan sebuah lagi pesawat MAS yang hilang hingga kini iaitu MH370 di Ho Chi Minh, Vietnam, tiga bulan sebelum MH17 ditembak jatuh.
Juga membuat liputan tsunami di Aceh pada 2004 dan tsunami Jepun pada 2011. Secara peribadi, penulis amat terkesan dengan kejadian MH17 ini kerana ketika tarikh 31 Julai, adik penulis, Allahyarham Suhaimi Abdul Malek meninggal dunia akibat denggi berdarah. Penulis sempat pulang, tetapi hanya mampu melihat sekujur tubuh yang tidak lagi bernyawa. Mati itu pasti dan ia ketentuan-Nya.
Itu juga buat pertama kali menyambut Aidilfitri di luar negara. Sungguh terasing, tetapi demi tugasan, amanah dilaksanakan sebaik mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan