"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bilik kabin jadi sarang PATI di Kampung Baru

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Imigresen tahan 38 warga asing di Kampung Baru.
Imigresen tahan 38 warga asing di Kampung Baru.
KUALA LUMPUR: Segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) nekad memanjat bumbung dan terjun dari tingkat dua dalam cubaan mengelak daripada ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Raja Muda Musa dekat Kampung Baru di sini, awal pagi tadi.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti serbuan awal pagi itu, mendapati kawasan tanah persendirian berkenaan dijadikan tapak rumah sewa yang dibina menggunakan beberapa buah kontena.

Berdasarkan pengakuan beberapa warga asing yang ditemui mendakwa, mereka menyewa daripada pemilik tanah warga tempatan dengan harga lingkungan RM250 hingga RM900 mengikut saiz bilik.

Tinjauan di lokasi mendapati, terdapat sekurang-kurangnya 10 buah kediaman berbeza saiz yang dibina menggunakan kontena dan pelbagai struktur tambahan lain.

Kawasan itu yang terletak di tengah-tengah ibu negara menjadi tumpuan penyewa warga asing walaupun terpaksa hidup dalam ruangan yang kecil.

Seorang penyewa warga tempatan yang tinggal di kawasan itu mendakwa kawasan tanah berkenaan dimiliki beberapa penama justeru tingkat atas dan bawah dimiliki oleh pemilik berbeza.

"Saya tinggal sini dah agak lama, berbelas tahun. Ramai dekat sini orang Indonesia ada yang kosong, ada yang ada permit.

"Rumah saya ini sewa dalam RM450, saya tinggal seorang sahaja kalau rumah depan itu RM250 kecil sedikit, kalau rumah di atas itu lebih mahal sebab pemilik lain-lain," katanya kepada Harian Metro.

Rata-rata PATI yang ditemui mengaku bekerja di sekitar ibu negara, termasuk kedai makan yang terletak berhampiran kawasan itu.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata seramai 38 PATI ditahan dalam operasi bermula 2.30 pagi itu.

"Keseluruhannya, 59 individu diperiksa terdiri daripada empat warga Myanmar, Indonesia (38 orang), Thailand (5 orang), pemastautin tetap (2 orang).

"Daripada jumlah itu, 38 individu disyaki PATI ditahan terdiri daripada 22 lelaki dan 14 wanita Indonesia serta dua lelaki warga Thailand," katanya.

Beliau berkata, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan: