"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gambar bogel: NGO kecam polis siasat mahasiswa UM

Malaysiakini 

Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) mengecam tindakan polis yang menyiasat tiga mahasiswa dan seorang ahli akademik kerana bercakap pada sidang media berhubung dakwaan seorang ahli akademik yang didakwa berkongsi gambar bogel dirinya dengan pelajar perempuan.

"Kami percaya langkah ini untuk menakut-nakutkan mereka yang tidak bersalah.

"Mengapa pihak berkuasa hari ini semakin menjadi-jadi dan sengaja sasar pihak yang salah, menakut-nakutkan dan menghukum rakyat baik yang sering menjadi mangsa, tetapi melepaskan pesalah sebenar dengan mudah?” kata Gerak dalam satu kenyataan hari ini.

Empat individu itu dipanggil polis untuk soal siasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA).

Salah seorang daripada mereka telah memberikan kenyataan minggu lalu manakala tiga lagi, termasuk Presiden Kelab Feminisme Universiti Malaya (UMFC ) Chin Jes Weng dijadualkan untuk disoal siasat pada pagi Sabtu.

Tiga individu lain yang disiasat ialah jurucakap lulusan sarjana kajian jantina UM, S Indramalar, Wong Xiao You dari Universiti Tunku Abdul Rahman dan ahli exco Persatuan Staf Akademik UM Aznijar Yazid.

Pada 16 Dis, UMFC menggesa pengurusan Universiti Malaya (UM) memperketat polisi gangguan seksual setelah seorang profesor didakwa berkongsi gambar bogel diri sendiri dengan pelajar.

"Menurut sumber pelajar tanpa nama, profesor itu mempunyai sejarah dakwaan gangguan seksual dan telah dilaporkan oleh pelajar sebelum ini, tetapi pihak universiti masih belum bertindak," kata kumpulan itu.

Pada 23 Dis, UM mengenakan tindakan tahan kerja terhadap pensyarah institusi pengajian awam itu yang didakwa menghantar mesej gambar bogelnya kepada pelajar.

Namun, pada 31 Dis seorang pelajar menyatakan kebimbangannya apabila pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual di institusi pengajian tinggi (IPT) itu masih hadir di kampus di sebalik penggantungan oleh pihak pentadbiran.

Dalam perkembangan terbaru, polis kini menyiasat empat individu selepas didakwa melanggar Akta Perhimpunan Aman.

'Aznijar lelaki baik'

Menyatakan tindakan polis itu sebagai mengecewakan, Gerak berkata ahli akademik mempunyai tanggungjawab untuk mendidik dan membebaskan minda muda.

NGO itu menegaskan bahawa sebarang tindakan oleh ahli akademik untuk mengeksploitasi dan mengganggu pelajar mereka secara seksual adalah tidak boleh diterima.

"Membiarkan pesalah sebegitu terlepas begitu sahaja, seperti yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa UM bukan sahaja dikesali tetapi juga tindakan yang hina," kata Gerak.

Dalam mempertahankan Aznijar, Gerak berkata rakan jawatankuasa eksekutif Gerak itu adalah ahli akademik yang berprinsip tinggi yang aktif dalam persatuan kakitangan akademik UM – di mana beliau berkhidmat sebagai timbalan presidennya.

"Kami menyokong tindakan Aznijar - menyampaikan kenyataan secara aman - sebagai sesuatu yang sesuai, mencerminkan kebimbangan ramai pada masa kami didesak oleh 'pemimpin' yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan diri sendiri untuk menganggap 'yang salah sebagai betul'.

"Dan seperti yang ditunjukkan oleh Aznijar, kami tidak akan tunduk kepada tekanan ini," katanya.

Tiada ulasan: