"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Doktor didakwa kerana bunuh, kerat kekasih hamil

Agensi

Hanoi: Seorang doktor di wilayah selatan Vietnam, Dong Nai menghadapi tuduhan merompak dan memiliki senjata tentera secara haram, serta membunuh dan mengerat kekasihnya yang hamil bagi menyembunyikan hubungan sulit mereka.

Pendakwa Raya Dong Nai mengeluarkan dakwaan terhadap Danh Son, 36 tahun, pakar pembedahan am di Hospital Besar Dong Nai, atas tiga pertuduhan itu, pada 14 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, wanita berusia 35 tahun bernama TTBN dari Bien Hoa City membawa saudara-mara ke Hospital Besar Dong Nai untuk mendapatkan rawatan, di mana dia berjumpa doktor yang merawat pesakit secara langsung pada penghujung 2022.

Walaupun kedua-duanya sudah berkahwin, mereka didakwa menjalinkan hubungan cinta.

Menjelang Mac 2024, wanita itu didakwa memaklumkan Son bahawa dia hamil dan menuntut doktor itu bertanggungjawab.

Wanita itu juga mengancam untuk mendedahkan hubungan sulit mereka kepada keluarga dan tempat kerjanya.

Akibat bimbangkan hubungan dengan keluarga dan kerjaya terjejas, Son memutuskan untuk membunuh kekasihnya serta mengerat badannya untuk menghapuskan bukti.

Dia didakwa membeli pisau pemotong daging, pisau pembedahan, tukul dan pil tidur yang disembunyikan di kawasan rehat peribadinya di Hospital Besar Dong Nai.

Pada 13 April 2024, dia menghubungi kekasihnya, meminta dia datang ke biliknya untuk berbincang.

Kira-kira 1 tengah hari pada hari sama, wanita itu tiba di bilik, di mana pihak berkuasa percaya dia meyakinkan mangsa untuk menjalani rawatan intravena (IV).

Dia didakwa secara rahsia meletak pil tidur ke dalam larutan IV.

Kira-kira sejam kemudian, apabila wanita itu tidak sedarkan diri, dia didakwa membunuhnya sebelum mengerat badan mangsa kepada beberapa bahagian, meletakkannya ke dalam beg plastik dan membuangnya di pelbagai lokasi di Bandar Bien Hoa dan daerah Vinh Cuu.

Dia kemudian membuang pakaian dan selimut berlumuran darah ke tong sampah hospital untuk menutup jenayah itu.

Pada 26 April 2024, Jabatan Polis Siasatan Jenayah Wilayah Dong Nai menahannya untuk siasatan.

Pemeriksaan di kediamannya di wad Tan Hiep di Bien Hoa turut menemui sepucuk revolver dan lima butir peluru.

Tiada ulasan: