Norzamira Che Noh
am@hmetro.com.my

PENTERNAK ikan ditahan selepas dipercayai memukul pekerjanya. FOTO Ihsan Pembaca.
Shah Alam: Polis menahan seorang penternak ikan yang dipercayai memukul serta menendang pekerjanya di pelantar ikan di kawasan Bagan Teochew, Pulau Ketam, Klang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek warga tempatan berusia 41 tahun itu ditahan di Pulau Ketam kira-kira jam 5 petang.
Beliau berkata, terdahulu polis mengesan satu pautan video berdurasi 54 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki memukul serta seorang lagi individu di atas pelantar ikan.
"Hasil siasatan, kejadian berlaku kira-kira 3 petang, 11 Januari lalu yang mana mangsa yang juga lelaki warga asing adalah pekerja suspek.
"Punca kejadian dipercayai ekoran mangsa tidak hadir bekerja selama dua hari dan pada hari kejadian, ketika mangsa tiba di pelantar ikan, suspek bertindak menumbuk, menendang dan mengugut mangsa.
"Bagaimanapun, ketika ini, polis masih mengesan mangsa untuk mendapatkan keterangan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Cha berkata, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.
Katanya, susulan kejadin itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini, mohon hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03- 33762222 bagi membantu siasatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan