"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes 1MDB: Surat derma Arab adalah palsu, ramai yang tertipu

Kes 1MDB: Mahkamah putuskan surat derma Arab adalah palsu
Ahmad Johari Ali, Rahmat Khairulrijal, Qistina Sallehuddin dan Sii Yin Ann
SUASANA di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya dipenuhi penyokong Razak yang hadir seawal 7 pagi bagi keputusan kes. FOTO Ahmad Ukasyah
SUASANA di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya dipenuhi penyokong Razak yang hadir seawal 7 pagi bagi keputusan kes. FOTO Ahmad Ukasyah
Putrajaya: Empat surat derma Arab yang dijadikan sandaran oleh Datuk Seri Najib Razak untuk pembelaannya dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah palsu, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, ketika menyampaikan keputusannya, berkata tiada sebarang pengesahan dibuat oleh bekas Perdana Menteri bagi memastikan dana diterimanya benar-benar daripada Raja Arab Saudi ketika itu, Almarhum Raja Abdullah.

Tegasnya lagi, surat-surat terbabit tidak pernah dikemukakan dalam bentuk asal kepada mahkamah.

Sequerah berkata, bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan itu hanya bersandarkan kepercayaannya kepada kerabat diraja Arab Saudi dan tiada bukti menunjukkan dana itu sepatutnya disalurkan secara berperingkat.

"Dalam pembelaannya, cara dana itu disalurkan adalah sepenuhnya terpulang kepada Almarhum Raja Abdullah, namun hujahan itu tidak membantu kes pembelaan," katanya.

Justeru, katanya, tindakan itu satu cubaan oleh tertuduh untuk mengabsahkan dakwaannya bahawa dana yang diterimanya adalah sumbangan derma.

Sequerah berkata demikian ketika membacakan keputusan pada akhir kes pembelaan membabitkan empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB dihadapi Najib.

Hakim menambah, jejak transaksi menunjukkan dana berkenaan disalurkan melalui syarikat persendirian pihak ketiga, iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore, yang dimiliki Eric Tan Kim Loong (sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low).

Beliau bagaimanapun menegaskan, tiada sebarang pengesahan bertulis atau surat penghargaan dihantar kepada keluarga diraja Arab Saudi, yang disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa.

"Surat derma Arab adalah satu percubaan untuk mengabsahkan dakwaan sumbangan oleh tertuduh, namun kandungannya tidak menyokong naratif bahawa dana itu adalah sumbangan.

"Saksi pembelaan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut mengakui beliau tidak pernah mendengar secara langsung bahawa Almarhum Raja Abdullah berhasrat menyalurkan sumbangan kewangan kepada Najib.

"Kebolehpercayaan saksi pembelaan tidak membantu kes pembelaan," katanya turut membangkitkan isu berkaitan keterangan delegasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), khususnya kenyataan Kim Loong yang dirakam berdasarkan kenyataan disediakan lebih awal.

Selain itu, tiada sesi soal jawab sebenar dengan pihak Arab Saudi, yang didakwa telah diatur sebelum ketibaan delegasi.

Sequerah menegaskan, naratif derma atau sumbangan itu juga tidak direkodkan dalam Minit Mesyuarat Kabinet.

"Najib mempunyai sumber untuk mengesahkan kesahihan dana itu, namun memilih untuk menutup mata secara sengaja. Oleh itu, dana berkenaan adalah sangat meragukan," katanya.

Mahkamah memutuskan bahawa naratif sumbangan Arab adalah tidak berasas dan dana berkenaan sebenarnya berasal daripada 1MDB.

Selepas Sequerah membacakan penghakiman selama dua jam 30 minit, mahkamah berhenti rehat untuk solat Jumaat sebelum bersambung pada jam 3 petang.

Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan membayangkan beliau memerlukan sekurang-kurangnya satu jam 30 minit lagi untuk menghabiskan penghakimannya.

Najib, 72, didakwa pada 2018 atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. Perbicaraan kes itu bermula pada tahun berikutnya.

Bekas Perdana Menteri didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014 di cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, dia dituduh melakukan kesalahan di bank yang sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan salah guna kuasa difailkan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama dengan penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Pertuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Najib diarahkan membela diri terhadap pertuduhan berkenaan pada 30 Oktober 2024 selepas Sequerah memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Selain kes SRC International yang telah diputuskan pada 2022 dan kes 1MDB, Najib sebelum ini berdepan tiga lagi kes rasuah berprofil tinggi. Bagaimanapun, dia dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi dua kes dan dibebaskan sepenuhnya bagi satu lagi pertuduhan.

Tiada ulasan: