Buletin TV3
TOKYO: Sepasang suami isteri dalam lingkungan usia 30-an maut selepas terperangkap di dalam sebuah sauna persendirian ketika kebakaran di Tokyo, Jepun, pada 15 Disember lalu, lapor MS News.
Menurut media tempatan, pasangan itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran pintu masuk bilik mereka.
Susulan penemuan berkenaan, mereka kemudian dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.
Pihak berkuasa menerima makluman mengenai kebakaran itu selepas penggera kecemasan di kemudahan berkenaan berbunyi pada jam 12.25 tengah hari.
Setibanya mereka di lokasi, kebakaran didapati berlaku di tingkat tiga bangunan lima tingkat berkenaan.
Dalam pada itu, kebakaran itu berjaya dipadamkan dalam tempoh kurang daripada satu jam.
Menurut Yomiuri Shimbun, sebuah bangku di bahagian belakang sauna terbakar dan beberapa tuala hangus turut ditemui.
Media sama melaporkan, mangsa juga mempunyai kesan melecur di bahagian belakang badan.
Sementara itu, mengikut sumber pihak polis, mereka mendapati tombol pintu bilik persendirian pasangan itu tercabut di kedua-dua belah pintu, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa pasangan berkenaan terperangkap di dalam.
Polis juga percaya, pasangan itu menekan butang kecemasan di dalam bilik terbabit, namun butang itu dipercayai mengalami kerosakan.
Mangsa dikenal pasti sebagai Masaya Matsuda, 36, dan isterinya Yoko Matsuda, 37, yang masing-masing pemilik salon kecantikan dan jurumanikur.
Polis sedang menyiasat punca kebakaran manakala mayat kedua-dua mangsa dihantar untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan