Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak akan mengambil keterangan penyiasat persendirian, P. Balasubramiam di London berlawanan dengan komitmen yang pernah disuarakan mereka.
Sebaliknya, Ketua Angkatan Muda Keadilan Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin beranggapan, suruhanjaya berkenaan seolah-olah mahu memerangkap Bala melalui kaedah akuan bersumpah.
SPRM membatal rancangan menemui Bala di London minggu depan atas alasan mahu mengelakkan implikasi perundangan sebagaimana dialami dalam kes Tan Sri Eric Chia sebelum ini.
Sebaliknya, agensi ini meminta Balasubramniam membuat penjelasan dalam bentuk afidavit berdasarkan soalan bertulis yang akan dikirimkan SPRM kelak.
Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Mohd Shukri Abdull atas nasihat Pejabat Peguam Negara.
"Pertamanya saya terkejut dengan tindakan SPRM kerana mereka membuat pelbagai kenyataan mengatakan SPRM komited untuk menyiasat dakwaan yang dikemukakan P Balasubramiam termasuk menghantar pegawai ke London.
"Perkembangan terbaru ini sangat aneh kerana seolah-olah MACC sengaja membuat dengan memerangkap Subramaniam dalam bentuk akuan bersumpah," katanya kepada TV Selangor.
SPRM dipercayai merujuk kepada kes hartawan Eric Chia apabila akuan saksi yang dirakam di luar negara tidak diterima mahkamah sebagai bukti.
Sehubungan itu, Shamsul menyifatkan prosedur yang digunakan SPRM umpama satu ugutan.
"Perlu diingat bahawa prosiding atau prosedur SPRM ini dibawah akta, tidak ada sebarang peruntukan yang menegaskan ataupun meminta supaya mereka yang disiasat sebagai saksi itu, dimestikan membuat akuan bersumpah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan