"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cina Masuk Melayu

notan
Assalamualaikum,,..

Beberapa hari lalu ketika aku pergi ke sekolah untuk menjemput anak anak dan ketika menunggu anak anak di depan sekolah, seorang guru kelihatan mundar mandir di hadapan kereta aku yang menarik perhatian aku kerana mukanya agak familiar. Aku tertanya tanya sendiri sehingga aku dapat melihat name tagnya.

Alangkah terkejut aku kerana memang aku kenal guru ini yang amat jauh berbeza dengan penampilannya dulu. Kini dia berketayap selepas pulang dari umrah(aku tahu dia baru pulang umrah kerana dia ada menghadiahkan sedikit kismis dari Mekah kepada zaujah aku) yang menyebabkan aku tidak perasan siapa dia. Tetapi aku tidak mahu mengganggu beliau yang kelihatan sibuk mencari sesuatu. Apa yang aku nak kongsikan kali ini bukanlah perwatakan guru tersebut tetapi apa yang dilaluinya selama ini yang boleh dijadikan pengiktibaran. Beliau sebenarnya seorang yang berketurunan cina, ayah cina dan ibupun cina. Tetapi beliau memeluk Islam lama dulu, tak silap aku ketika di tingkatan empat atau lima.

Apa yang menarik perhatian aku setelah lama tidak bersua, rupanya berubah menjadi rupa melayu, apatah lagi dengan mengenakan pakaian sunnah ala melayu, beliau langsung sudah hilang identiiti cinanya. Inilah tipikal kepada kehidupan agama di negara kita sesudah sesudah seseorang yang berketurunan cina memeluk Islam. Rupa mereka bertukar terus kepada rupa melayu dengan penampilan dan gaya hidup orang melayu. Kerana itu, genarasi terdahulu lebih gemar memanggil seseorang dari keturunan cina yang memeluk Islam sebagai "cina masuk Melayu". Kini walaupun sdr Lim Jooi Song cuba mengenengahkan konsep bangsa yang tidak berubah kerana mengubah akidah tetapi pengaruh "cina masuk melayu" tetap kuat di kalangan saudara saudara baru kita bukan sahaja dari keturunan cina tetapi dari keturunan lain juga.

Satu lagi fakta yang sering terjadi ialah suadara suadara baru ini mengahwini orang orang melayu. Lelaki cina yang masuk Islam sering memilih gadis melayu sebagai isteri mereka, sementara wanita cina yang menukar akidah memilih lelaki melayu sebagai suami mereka. Trend yang sama boleh dilihat di kalangan bangsa lain yang memeluk Islam.

Guru yang aku ceritakan di atas tidak terlepas dari kebiasaan ini di mana isterinya adalah melayu. Kerana itu ketika anaknya muncul di depannya, rupanya tidak sedikitpun menunjukkan beliau merupakan keturunan campuran dan kalau ditanya anaknya, pasti dia akan memperkenalkan dirinya sebagai melayu seperti YB Salehudin Ayub yang turut mempunyai darah cina di badannya.

Apa yang aku nak sampaikan ialah tradisi cina masuk melayu ini dapat memberikan kita sedikit kelegaan dengan kes kes murtad yang menjadi jadi di kalangan orang orang melayu hari ini. Ini memberi satu keyakinan bahawa kata kata laksamana Hang Tuah 'tak melayu hilang di dunia' akan terus kekal utuh tetapi mungkin melayu yang tidak hilang itu bukan lagi original dari sudut genetiknya tetapi tetap tidak terjejas dari sudut akidahnya.

Tiada ulasan: